PARA penyokong Britain pastinya amat kecewa bahkan agak terkejut dengan dua bintang besar tenis negara mereka tersungkur seawal pusingan kedua kejuaraan bertaraf Grand Slam iaitu Wimbledon minggu lepas.
Juara dua kali Wimbledon, Andy Murray dikejutkan dengan kekalahan empat set kepada pakar pukulan servis dari Amerika Syarikat (AS), John Isner, manakala juara Terbuka AS, Emma Raducanu turut mengalami nasib sama apabila ditewaskan oleh pemain Perancis, Caroline Garcia secara straight-set.
Malangnya, dua bintang besar tersebut seharusnya memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apatah lagi menerima sokongan padu penyokong tempatan.
Di negara ini, situasi lebih kurang sama apabila Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia menyaksikan satu per satu wakil tuan rumah tersungkur pada hal beraksi di laman sendiri, Axiata Arena Bukit Jalil minggu lalu.
Lebih mengecewakan, bintang perseorangan No.1 negara yang berada di ranking No.5 dunia, Lee Zii Jia tersingkir pada pusingan kedua oleh wakil Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito minggu lepas.
Akhirnya, Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia berakhir tanpa ada satu pun wakil negara meraih gelaran sama ada dalam kalangan profesional mahupun pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Belum pun reda kekecewaan penyokong tempatan, namun mereka sudah menerima tamparan apabila idola badminton negara berusia 24 tahun tersebut mengumumkan menarik diri daripada menyertai Malaysia Masters yang berlangsung minggu ini.
Ketiadaan Zii Jia yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu pada Malaysia Masters benar-benar menghampakan para penyokong yang sudah membeli tiket untuk menyaksikan anak bangsa sendiri bersaing di pentas antarabangsa.
Selain Zii Jia, jaguh No.1 dunia yang juga juara Terbuka Malaysia, Victor Axelsen turut menarik diri daripada menyertai Malaysia Master hingga menjadikan kejohanan sudah ketiadaan seri.
Menyedihkan apabila menyaksikan pesaing bagi Malaysia Masters diwakili oleh pemain veteran dan mereka yang baru setahun jagung. Mungkin ada hikmahnya, pemain-pemain muda negara berpeluang memperoleh pendedahan di pentas antarabangsa.
Pada penulis, biar usia mereka baru setahun jagung, namun kita pupuk supaya hati mereka sentiasa berkobar-kobar serta bersemangat untuk menyarung jersi negara.
Biar lah patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku, patah siku bertongkat dagu, patah dagu bertongkat kuku’. Buktikan semangat juang tinggi anak-anak muda untuk mengharungi cabaran dan bukan menyerah kalah dengan takdir.














