fbpx

2 lelaki terima padah buat laporan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHEN YEE (kiri) dan R. Kumaraguru dikenakan denda oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membuat laporan palsu.

JOHOR BAHRU – Tindakan dua lelaki yang membuat laporan palsu kononnya beg mengandungi kad pengenalan dan barangan berharga diragut serta hilang mengundang padah apabila mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Chin Chen Yee, 44, yang juga pengurus sebuah syarikat dikenakan hukuman denda RM800 selain penjara sebulan jika gagal membayar denda terbabit.

Manakala penganggur, R. Kumaraguru, 31, pula dijatuhkan hukuman penjara lima hari beserta denda RM1,000 dan jika gagal bayar tiga bulan penjara.

Keputusan hukuman itu ditetapkan sejurus kedua-dua mereka mengaku salah selepas kertas pertuduhan dibacakan masing-masing di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat dan Majistret Mohd. Zulhilmi Ibrahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Chen Yee didakwa telah membuat laporan polis palsu menyatakan beg silang miliknya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM dan wang tunai RM500 diragut dua lelaki menaiki motosikal di Taman Sutera Utama, pada pukul 10.45 malam, 3 Julai lalu.

Manakala, berdasarkan kertas pertuduhan terhadap Kumaraguru pula, dia didakwa telah membuat laporan polis palsu mendakwa dompet miliknya yang mengandungi kad pengenalan, kad ATM beserta wang tunai RM180 disamun di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada pukul 7.30 pagi, 4 Julai lalu.

Atas kesalahan tersebut, kedua-dua mereka dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan kes Chen Yee dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, Manakala pendakwaan bagi kes Kumaraguru pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Marzuki Danial Munir.

Difahamkan, siasatan polis mendapati kedua-dua tertuduh membuat laporan berkenaan bertujuan untuk mengelak dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan milik mereka.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI