ALOR SETAR – Seorang ibu hanya memikirkan dirinya akan menemui ajal bersama anaknya berusia dua tahun selepas terperangkap dalam rumah ketika kejadian kepala air di Gunung Inas, Kampung Iboi dekat Baling di sini kelmarin.
Ibu berkenaan, Rabiatul Adawiyah Meli, 27, berkata, dia hanya teringatkan mati selepas terperangkap dalam rumah bersama anak perempuannya yang berusia dua tahun.
“Pada masa itu, air sudah naik sehingga paras dada. Apa yang saya ingat adalah anak dan terus mendukungnya dengan meredah arus deras untuk naik ke kawasan lebih tinggi.
“Ibu mentua pula sempat menyelamatkan diri dengan naik ke atas peti ais sebelum diselamatkan jiran,” katanya.
Menurutnya, rumahnya dipenuhi batang pokok yang dibawa kepala air, manakala empat buah kenderaan milik saya termasuk sebuah van yang digunakan untuk perniagaan sabun dihanyutkan arus deras sejauh lebih 500 meter dari rumah.

Dalam pada itu, Nurul Halimah Kuin, 29, berkata, kedai kek miliknya yang beroperasi sejak tiga tahun lalu dan terletak kira-kira 100 meter dari Sungai Iboi hilang sekelip mata akibat dihanyutkan arus deras.
“Semasa kejadian saya sedang membakar kek sebelum terdengar bunyi bising dari hulu sebelum ternampak aliran deras sungai bersama batang-batang pokok yang besar dan sisa lain.
“Saya mula mengemas barang sebelum kepala air naik ke jalan kampung seterusnya menenggelamkan kedai kek pada paras lutut,” ujarnya.
Katanya, dia kemudian cuba menutup suis dan hampir terkena renjatan elektrik sebelum air terus naik hingga paras dada.
“Saya sempat keluar dari pintu belakang dan ibu mentua dan seorang pekerja yang terperangkap di dalam kedai kek sempat diselamatkan jiran,” katanya yang mengalami kerugian lebih RM200,000.
Menurutnya, keadaan reda kira-kira sejam kemudian dan terkejut apabila mendapati kedainya sudah tiada di situ.
“Kami percaya kejadian dipercayai berpunca daripada projek tanaman di Gunung Inas yang mana penduduk sudah beberapa kali membantah projek tersebut sebelum ini,” ujarnya.
Abdul Razak Abdullah, 72, pula berkata, dia mengalami kecederaan pada tangan dan kaki akibat terkena dawai besi ketika cuba menyelamatkan diri daripada dihanyutkan arus deras.
“Saya terpaksa panjat pagar besi di tepi rumah dan berpaut pada dawai tersebut. Tangan dan kaki saya cedera akibat terkena dawai besi tajam kerana terpaksa berpaut dengan kuat selama lebih 15 minit,” katanya.
Tambahnya, kawasan rumah di kampung tersebut tidak pernah dinaiki air sebelum ini dan kejadian kelmarin merupakan yang paling teruk dialaminya. Penduduk dengar bunyi dentuman, aliran deras sungai bawa batang pokok














