fbpx

Mangsa tikam sempat minta maaf, berpesan tentang ajal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Hisham (kiri) ketika ditemui di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka. - FOTO: RASUL AZLI SAMAD

MELAKA – Pesara guru yang mati ditikam anak sendiri di Kampung Paya Luboh di sini semalam sempat meminta maaf pada ibu tiri dan berpesan tentang kematian pada malam sebelum kejadian.

Menurut adiknya, Mohamed. Hisham Md. Dom, 54, dia bersama keluarga dan ibunya telah datang bertandang ke rumah mangsa, Rozizah Md. Dom, 63, pada malam sebelum kejadian untuk bertanya khabar.

Ujarnya, mangsa sempat menghidangkan ketam masak lemak kepada keluarganya itu, manakala suspek juga dilihat dalam keadaan normal seperti biasa.

“Kakak sempat jamu saya sekeluarga ketam masak lemak dan kami bersembang seperti biasa, namun keadaan memang sedikit berbeza kerana suami arwah juga baharu meninggal sebulan yang lalu.

“Namun ketika kami ingin pulang, kakak sempat meminta maaf pada ibu saya, katanya ‘minta maaf Mak Yah, maaf zahir batin, kita semua kena ingat umur kita reput bila-bila masa boleh pergi (meninggal dunia),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediaman mangsa di Kampung Paya Luboh di sini, hari ini.

Sementara itu, abang mangsa, Abbas Md. Dome, 66, memberitahu, anak kedua mangsa yang menyaksikan ibunya ditikam oleh abang sulung masih dalam keadaan trauma dan menyendiri di dalam bilik.

Katanya, ahli keluarga yang lain juga masih belum dapat menerima dan memahami apa yang terjadi kerana suspek sering menonjolkan keperibadian anak yang baik.

“Dia (suspek) cukup menghormati keluarga, orang tua termasuklah ibu bapa saudaranya dan pangkat anak-anak buah.

“Lemah lembut orangnya, jadi kami memang tak sangka benda begini boleh terjadi, kami sendiri masih tak faham apa yang berlaku dan dia (mangsa) tak pernah cerita masalah keluarganya,”katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, keluarga itu menyerahkan sepenuhnya kepada perundangan negara untuk menentukan hukuman yang setimpal terhadap suspek.

Katanya, mangsa akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tangga Batu petang ini.

Semalam Kosmo! melaporkan seorang penganggur bertindak menikam ibunya sehingga mati selepas mendakwa terdengar suara halus memberitahu mangsa telah menyembah berhala.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, mangsa, Rozizah meninggal dunia di lokasi dengan dua kesan tikaman di leher. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI