fbpx

Tragedi Julai, berkorban atau terkorban?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Kelmarin, rakyat Malaysia berduka apabila seorang ibu dan bayinya yang berusia 44 hari dibunuh kejam dengan cara leher mereka dikelar dalam kejadian di sebuah rumah di Johor Bahru.

Lebih tragis lagi perbuatan tersebut dilakukan oleh ahli keluarga sendiri yang kemudiannya dapat diberkas polis beberapa jam selepas kejadian itu berlaku.

Di Baling, Kedah pula, pada hari sama, tiga sekeluarga dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir selepas hujan lebat selama tiga jam pada petang Isnin.

Bencana alam itu menghanyutkan seorang wanita, anak lelaki dan menantu perempuannya. Mangsa berusia 53, 23, dan 14 tahun. Ini secebis kisah yang berlaku pada bulan Julai.

Pada Julai juga kecoh harga ayam naik apabila kerajaan menetapkan harga siling baharu iaitu RM9.40 berbanding RM8.90 sekilogram bermula pada 1 haribulan.

Sudahlah harga di sesetengah tempat mahal, bekalan pula sukar diperoleh, namun apabila harga siling ayam naik 50 sen lain pula cerita yang timbul.

Bekalan bukan sahaja bertambah, malah ayam yang diterima daripada pembekal juga bersaiz besar.

Seorang rakan penulis beritahu biasanya berat ayam yang dibeli adalah sekitar 1.5 hingga 1.8 kilogram (kg) seekor, namun pada minggu ini ayam yang dijual di pasaran beratnya 2kg dan ke atas seekor, malah ada peniaga beritahu berat ayam ada yang mencecah sehingga 3.5kg.

“Beli ayam di pasar sekarang saiz sama seperti bayi baru lahir. Harganya pula jangan ditanya,” selorohnya kepada penulis.

Ini yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai termasuk peniaga sendiri.

Penternak nafi mereka menyimpan stok sehingga harga siling baharu dikuatkuasakan, sebaliknya mereka menjelaskan keadaan itu berlaku berikutan ayam di ladang melepasi tempoh matang disebabkan permintaan semakin berkurangan.

Selain itu, pada Julai umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha atau hari raya korban yang ditetapkan pada 10 haribulan iaitu Ahad ini.

Ini merupakan tahun pertama hari raya korban disambut dalam suasana bebas tanpa sebarang sekatan memandangkan pada tahun lepas kita masih lagi bergelut dengan virus Covid-19 yang menggila serta tidak dibenarkan merentas negeri.

Walaupun sambutan Hari Raya Aidiladha bagi sesetengah tempat dirai secara ala kadar berbanding dengan Hari Raya Aidilfitri, namun ‘auranya’ tetap ada.

Lebuh raya utama di negara ini tetap dibanjiri dengan kenderaan. Lebih sejuta kenderaan dijangka menggunakan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur 1 sempena Hari Raya Aidiladha ini.

Namun dalam keterujaan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, harus diingat masih ada orang di luar sana yang berkira-kira untuk berbelanja.

Dengan kenaikan harga barang semakin mencanak, ada keluarga terpaksa mengorbankan apa yang patut kerana yang lebih penting perut anak-anak perlu diisi. Itulah pengorbanan sebenar selain terkorban dalam situasi harga barang sekarang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI