fbpx

Skuad hoki jangan tersilap atur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) mempunyai tempoh tiga bulan untuk merencana perancangan terbaik buat skuad hoki senior lelaki kebangsaan sebelum berjuang di Piala Dunia 2023 di India dari 13 hingga 29 Januari.

Malaysia bakal menganjurkan semula Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak pada 15 hingga 25 November selepas dua edisi terpaksa dibatalkan berikutan penularan Covid-19.

Buat julung kalinya penganjuran kali ini menawarkan mata ranking dunia yang akan menjadi rebutan pasukan-pasukan bertanding berbanding 28 edisi terdahulu dilihat lebih kepada aksi ‘pemanas badan’.

Situasi itu sudah tentu membakar semangat skuad negara untuk meraih sebanyak mungkin mata ranking bagi memperbaiki kedudukan ke-10 dunia ketika ini.

Ia menjadi tonik terbaik buat para pemain untuk menamatkan penantian bergelar juara buat kali pertama dalam sejarah pe­nganjuran sejak mula diperkenalkan pada 1983.

Dalam masa sama, skuad negara juga dijemput menyertai saingan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Potchefstroom, Afrika Selatan dari 28 November hingga 4 Disember depan.

Ia turut menawarkan mata buat ranking dunia tetapi masalah utamanya adalah aksi pertama kejohanan itu akan berlangsung tiga hari selepas tamat saingan PSAS 2022.

MHC perlu berani mengambil risiko selepas dikatakan mahu menghantar skuad senior bim­bingan Arul Selvaraj menyertai kedua-dua kejohanan itu sebelum ke Piala Dunia 2023 sebulan kemudian.

Timbalan Presiden MHC, Profesor Datuk Dr. S. Shamala berpandangan, dua kejohanan itu tidak boleh diambil ringan selain juga boleh menjadi platform persediaan terbaik buat pemain.

“Pasukan baru kembali menjalani latihan minggu ini dan buat masa sekarang kita masih mempertimbangkan lagi kerana kita ada cukup masa untuk sertai dua kejohanan itu.

“Malangnya FIH lambat be­ritahu kita tarikh Piala Negara-Negara FIH. Takkan kita nak tarik diri PSAS sebab kita tuan rumah. PSAS juga tawarkan mata ran­king yang tinggi.

“Apa yang pasti kita akan hantar pasukan senior. Kita tak boleh main-main kerana dua kejohanan itu tawarkan mata ranking yang tinggi dan menjadi pendedahan terbaik ke Piala Dunia,” katanya.

Ada yang berpendapat MHC mungkin boleh menghantar pasukan remaja menyertai salah satu daripada PSAS atau Piala Negara-Negara FIH sebagai pendedahan.

Ia boleh dianggap sebagai platform persediaan buat skuad projek khas itu memandangkan Malaysia merupakan tuan rumah Piala Dunia Hoki Remaja 2023 di Kuala Lumpur.

Bekas kapten Malaysia, Mohd. Fitri Saari berkata, langkah itu tidak sesuai buat masa ini kerana Malaysia berisiko kehilangan banyak mata ranking disebabkan intensiti tinggi di dua kejohanan antarabangsa berkenaan.

“Skuad remaja masih belum bersedia. Kalau mereka sudah disiapkan awal, itu tiada masalah. Takut kita hilang ba­nyak mata untuk ranking dunia.

“Semua kejohanan saya nak bermain kalau saya masih lagi sebagai pemain dalam pasukan. Tiada masalah kalau jarak waktu yang rapat sekalipun, ia bergantung kepada perancangan jurulatih,” jelasnya.

Bagi Fitri, barisan kejurulatihan mungkin mempunyai beberapa set pemain yang boleh digunakan dalam dua kejohanan itu bagi mengelak risiko kecede­raan sebelum Piala Dunia 2023 bermula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI