fbpx

PATI bayar RM3,000 caj nak masuk Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barang rampasan hasil Ops Pintas di sebuah rumah penampungan di Jalan Parit Raja, Laut, Kampung Rimba Terjun, hari ini.

PONTIAN – Sebuah rumah penampungan di Jalan Parit Raja Laut, Kampung Rimba Terjun, di sini diserbu selepas disyaki dijadikan tempat persembunyian pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia.

Dalam serbuan Ops Pintas yang dijalankan pada pukul 5.30 pagi itu, lapan lelaki Indonesia serta seorang lelaki tempatan dicekup masing-masing berusia 22 hingga 57 tahun.

Lapan PATI yang ditahan terdiri daripada tiga individu bertindak sebagai tekong, dua lelaki sebagai ‘transporter’ (pengangkut) manakala tiga lagi merupakan PATI yang baru mendarat.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kejayaan tangkapan itu hasil risikan dan maklumat daripada orang awam.

“Lelaki tempatan yang ditahan merupakan pemilik rumah penampungan dan suspek disyaki mengambil bayaran RM100 bagi setiap pelanggan.

“Rumah terbabit merupakan lokasi strategik sindiket kerana kedudukannya kira-kira 100 meter dari Pantai Rambah, lokasi pendaratan PATI,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohammad Shofee berkata, hasil siasatan lanjut mendapati tekong tempatan dan Indonesia menerima upah antara RM100 hingga RM500 daripada ejen yang dikenali sebagai Nurul yang menguruskan aktiviti penyeludupan tersebut.

Jelasnya, PATI yang diberkas turut mengaku telah membayar antara RM1,800 hingga RM3,000 kepada sindiket terbabit sebagai caj perkhidmatan untuk masuk atau keluar dari negara ini.

:”Mereka disyaki bertolak pada pukul 8 malam tadi dari Batam, Indonesia dan sampai ke Pontian pada pukul 11 malam sebelum dibawa ke rumah penampungan dan seterusnya dihantar bekerja di kebun durian di Pagoh, Muar,” ujarnya.

Katanya, kesemua yang ditahan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bersama barangan rampasan iaitu sembilan buah telefon bimbit, dua buah motokar dan wang tunai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI