fbpx
Ismail Sabri

Ismail Sabri dijadual berangkat ke Turki esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan bertemu dengan rakan sejawat beliau, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam lawatan rasmi sulung ke negara republik itu bermula esok hingga 8 Julai ini.

Kementerian Luar Negeri berkata, pertemuan sulung antara kedua-dua pemimpin itu akan memberikan peluang kepada mereka untuk meneliti perkembangan pelaksanaan Deklarasi Bersama mengenai Rangka Kerja Kerjasama Strategik yang dimeterai pada tahun 2014.

“Pertemuan itu juga bakal membuka peluang bagi kedua-dua pemimpin menerokai inisiatif baharu bagi meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin dalam pelbagai bidang ke peringkat yang lebih tinggi.

“Antara perkara-perkara utama yang akan dibincangkan semasa Lawatan Rasmi dalam kolaborasi dua hala itu termasuklah kerjasama pasca Covid-19, pertahanan dan industri aeroangkasa serta usaha bersama dalam menangani isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri juga akan bertemu dengan pemain-pemain utama industri Turki dalam usaha mengukuhkan kerjasama ekonomi dan membuka ruang juga peluang kepada kedua-dua negara untuk meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.

“Sempena lawatan ini, kedua-dua negara juga dijangka akan memuktamadkan beberapa Memorandum Persefahaman dalam bidang pendidikan, kesihatan, media, komunikasi, pelancongan kesihatan dan kolaborasi perniagaan.

“Dalam pada itu, Perdana Menteri juga akan mengadakan sesi bersama Keluarga Malaysia di Istanbul semasa majlis makan tengahari yang dijadualkan esok,” katanya.

Jelas kenyataan itu, Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Pada tahun 2021, Turki merupakan rakan dagangan ke-3 terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan perdagangan bernilai RM16.97 bilion (AS$4.09 bilion) dan projek-projek yang telah dilaksanakan bernilai RM444.59 juta (AS$130.91 juta). – KOSMO! ONLINE.

POPULAR