fbpx

Permudahkan syarat latihan wajib bakal doktor gigi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Terdapat graduan yang terpaksa menunggu sehingga setahun sebelum mendapat tempat menjalani latihan. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) diminta menyelesaikan segera isu penempatan bagi menjalani latihan Program Pegawai Pergigian Baharu (NDOP) selepas ada graduan terpaksa menunggu hampir setahun sebelum menerima penempatan.

Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) berkata, KKM perlu mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan isu terbabit memandangkan graduan pergigian disifatkan sudah bersedia menjalani latihan berkenaan selepas tamat pengajian.

“Sebelum tahun 2002, graduan pergigian dibenarkan praktis (merawat pesakit) sebaik sahaja tamat pengajian tanpa perlu menjalani apa-apa perkhidmatan wajib.

“Pihak persatuan yakin selepas tamat pengajian, graduan pergigian sudah berkemampuan untuk merawat pesakit dengan had kebolehan masing-masing kerana semasa pembelajaran selama lima tahun, mereka sudah merawat pesakit,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

IMAM berkata demikian sebagai memberi reaksi kepada laporan Kosmo! yang mendedahkan, ada graduan pergigian terpaksa bekerja sebagai pembantu klinik kerana belum menerima sebarang penempatan NDOP selepas tamat pengajian.

Berita berkaitan: Ramai bakal doktor gigi menganggur

Sementara itu, ketika dita­nya mengenai keperluan untuk membenarkan graduan pergigian menjalankan latihan NDOP di fasiliti perubatan swasta, IMAM berkata, cadangan itu perlu dipertimbangkan KKM.

“Ia satu cadangan praktikal serta perlu dipertimbangkan oleh pihak berwajib sekiranya kapasiti sedia ada tidak mencukupi.

“Penambahan fasiliti untuk NDOP yang memenuhi kriteria tertentu akan membantu mengurangkan tempoh me­nunggu gra­duan pergigian sete­rusnya mengurangkan masalah ­pengangguran mereka,” jelasnya.

Sebelum ini, bekas Presi­den Persatuan Doktor Pergigian Swasta Malaysia, Dr. V. Nedunchelian turut memohon kerajaan memberi peluang kepada fasiliti perubatan swasta dalam me­nguruskan latihan NDOP graduan pergigian.

Katanya, cadangan itu perlu dipertimbangkan KKM bagi mempercepatkan proses pe­nempatan latihan NDOP kerana hampir 1,200 graduan pergigian ‘dilahirkan’ setiap tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI