fbpx
ORANG ramai begitu teruja dapat melihat aksi-aksi menarik yang dipersembahkan para pelumba pada Guar Sanji Fun Race Cubcross baru-baru ini . – SYED AZLAN SAYID HIZAR

Hutan kini bertukar jadi litar cubcross

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DERUMAN bunyi enjin dan ekzos motosikal cubcross buat pertama kalinya memecah suasana hening dan damai di sekitar kawasan bendang di Kampung Jelempok Kecil, Arau, Perlis.

Kawasan kampung yang biasanya tenang dengan pemandangan sawah padi terbentang luas kini menjadi tumpuan peminat sukan permotoran lasak dari Perlis dan Kedah untuk mencuba nasib mereka di litar berkenaan.

Cuaca baik dan tidak hujan menyebabkan saingan sengit daripada lebih 100 pelumba berentap, malahan turut menarik kehadiran lebih 4,000 pengunjung dari seluruh negeri hadir menyaksikan sendiri perlumbaan Guar Sanji Fun Race Cubcross yang julung-julung kalinya diadakan pada 26 Jun lalu.

Menurut Setiausaha Komuniti Anak Muda Jelempok, Aiman Muhaimin Purkhan, 26, penganjuran perlumbaan tersebut mempunyai cerita tersendiri dan hasil kesungguhan sekumpulan anak muda kampung itu membangunkan litar tersebut.

“Litar ini pada asalnya adalah tanah terbiar yang dipenuhi pokok-pokok hutan.

“Namun atas kesepakatan dan persetujuan pemilik tanah, kami anak-anak muda mula membangunkan kawasan ini untuk dijadikan litar bagi mengisi aktiviti masa lapang.

“Pembinaan litar ini menggunakan duit kutipan kami sendiri sedikit demi sedikit daripada kira-kira 30 orang anak muda berusia lingkungan 20-an hingga lewat 40-an,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menerima bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim.

PASUKAN Merbau Cubcross dari Kedah turut menghantar penyertaan dalam perlumbaan tersebut.

Ujarnya, usaha membangunkan kawasan litar sepanjang 1 kilometer dengan 15 bonggol itu bukan mudah kerana mereka mengambil masa kira-kira enam bulan untuk membersihkan tanah di kawasan tersebut.

Katanya, kewujudan litar tersebut berjaya menarik minat golongan belia di sekitar kawasan Arau menyertai aktiviti cubcross yang mula mendapat perhatian di negeri ini.

“Kewujudan litar tersebut secara tidak langsung menarik minat anak muda dari kawasan Arau khususnya bagi menyertai aktiviti cubcross yang semakin menjadi tarikan untuk berkecimpung dalam sukan lasak berkenaan.

“Kita juga berterima kasih kepada Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Guar Sanji, para penaja dan semua pihak yang menggembleng tenaga menjayakan acara tersebut,” katanya.

Guar Sanji Fun Race Cubcross bermula dari pukul 8 pagi hingga 6 petang itu mempertaruhkan tiga kategori iaitu iaitu standard, terbuka dan standard kilang.

Ia melibatkan motosikal empat lejang tidak melebihi 150 CC seperti jenis Modenas Kriss, Honda EX5, Yamaha LC, Yamaha Lagenda dan pelbagai lagi.

Bagi kategori standard kilang, peserta akan berentap menggunakan motosikal mengikut spesifikasi asal semasa ia dikeluarkan dari kilang.

Sementara bagi kategori standard, terdapat pengubahsuaian pada bahagian fork, arm dan enjin.

Bagi kategori terbuka pula, hampir keseluruhan motosikal diubah suai dan ia lebih mirip kepada kepada motorcross.

SEBUAH jentera lumba yang diubahsuai untuk bertanding dalam kategori terbuka.

Seorang pelumba, Mohd. Nor Ramli, 33, berkata, dia menyertai perlumbaan tersebut kerana aktiviti sedemikian memberikan satu kepuasan kepada dirinya.

“Aktiviti cubcross ini sangat menarik kerana ia hanya menggunakan motosikal empat lejang, namun dipertingkatkan keupayaannya hampir kepada tahap motorcross.

“Saya menggunakan motosikal jenis Honda Wave 125 dan melakukan pengubahsuaian dengan kos antara RM8,000 hingga RM9,000 termasuk menukar sistem suspensi seperti fork, arm, tayar dan lain-lain menggunakan khidmat mekanik sendiri,” jelasnya.

Tambahnya, sesiapa sahaja boleh menyertai aktiviti itu, namun ia memerlukan kemahiran mengawal motosikal serta memiliki keberanian.

Sememangnya aktiviti itu menjanjikan kepuasan dan dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.

Sementara itu, seorang pelumba cilik, Syazmil Naim Rosli, 12, yang berjaya mendapat tempat keempat kategori standard kilang berkata, dia sangat meminati sukan permotoran dan mendapat sokongan serta galakan daripada bapanya.

“Saya mula aktif menyertai sukan cubcross ini Disember tahun lalu dan bapa sering membawa saya menyertai beberapa perlumbaan dan latihan di beberapa litar di negeri ini dan negeri lain.

“Bapa beritahu, saya tidak boleh menunggang di atas jalan raya dan hanya boleh bermain di kawasan litar.

AKSI yang mendebarkan ditunjukkan para pelumba sentiasa menjadi perhatian penonton pada perlumbaan motosikal lasak.

“Ini kerana, jika berlaku sesuatu, ia tidak membahayakan orang lain,” tutur pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup, Kangar itu.

Katanya, dia mempunyai harapan dan impian untuk menjadi salah seorang pelumba sukan lasak motorcross terkenal satu hari nanti disebabkan minat yang mendalam dalam sukan itu.

Sukan lasak seperti cubcross sememangnya ada ramai peminat

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN