KUALA TERENGGANU – Tiada apa yang mampu diucapkan oleh sekumpulan 10 pemancing selain bersyukur kepada Ilahi kerana masih dipanjangkan umur selepas mereka tersadai selama enam hari di tengah laut akibat kerosakan enjin bot.
Salah seorang mangsa, Zairi Nuruddin, 50, berkata, bot tersebut mengalami kerosakan sejak 26 Jun lalu, iaitu tidak sampai 24 jam selepas mereka bertolak dari Jeti Pengkalan Kubu, Kuala Besut untuk memancing.
“Kami sangka akan mati di tengah laut kerana tiada sebarang pertolongan tiba sehinggakan kami sudah putus asa.
“Saya akhirnya nekad melaungkan azan pada pukul 7 pagi semalam (kelmarin). Alhamdulillah sebuah bot nelayan sudi membantu menunda kami,” katanya ketika ditemui di Jeti Maritim Terengganu di sini semalam.

Zairi bersama sembilan rakannya kemudian diselamatkan Maritim Malaysia (APMM) dengan menaiki Kapal Maritim (KM) Redang selama lebih 12 jam.
Zairi berkata, kawasan mereka tersadai yang terletak kira-kira 11 batu nautika dari Pelantar Chendor sebenarnya banyak dilalui bot-bot nelayan lain.
Bagaimanapun, tiada bot nelayan yang kebanyakannya milik Vietnam datang membantu.
Berita berkaitan: Bot bawa 10 pemancing hilang di perairan Terengganu
“Pelbagai ikhtiar telah kami lakukan untuk menarik perhatian bot nelayan lain termasuk membakar tayar dan kain, namun semua usaha itu sia-sia.
“Hanya Allah tahu betapa hampanya kami sehingga terfikir akan menemui ajal di tengah laut. Kami kuatkan iman dengan kerap menunaikan solat sunat dan berdoa,” katanya.

Zairi berkata, dia dan sembilan rakan memancingnya bersyukur apabila sebuah bot nelayan yang dikemudi tekong warga Thailand sudi membantu.
Jelasnya, bot dinaiki mereka kemudiannya ditunda ke Pelantar Chendor.
“Ini pengalaman paling buruk sejak 20 tahun saya mengikut trip memancing laut dalam. Kami berjaga secara bergilir-gilir bagi memastikan bot tidak hanyut lebih jauh atau karam.
“Bot kami mengalami sedikit kebocoran selain tali sauh terputus. Cuaca amat buruk dengan ombak setinggi empat meter,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan, 10 pemancing dan tiga kru bot yang keluar ke laut sejak 25 Julai lalu dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke jeti mengikut jadual pada Rabu lalu.
Bot dinaiki kumpulan pemancing itu mengalami kerosakan enjin kemudian ditemui kira-kira 11 batu nautika dari Pelantar Chendor yang terletak 80 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.














