fbpx
KUMPULAN INSOMNIACKS

Lirik puitis, melodi menusuk Sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKANLAH berstatus lagu baharu kerana usianya barangkali sudah hampir lima bulan di pasaran, Sempurna dendangan kumpulan Insomniacks bagaimanapun menyita perhatian apabila secara rawak dimainkan dalam akaun laman penstriman muzik, Spotify penulis baru-baru ini.

Gali punya gali, ada versi paling baharu dirakamkan kumpulan itu yang dianggotai empat jejaka iaitu Iqie, Iskandar, Gavin serta Dan. Syahdu, dengan dentingan piano mempesona serta vokal menenangkan listrik vokalis dalam lagu.

Lirik mendalam

Ketika lagu dari Seberang seperti Tak Ingin Usai nyanyian Keisya Levronka dan Rumah Singgah (Fabio Asher) membekas dalam jiwa para pendengar masa kini, Sempurna yang merupakan hasil karya anak tempatan juga tidak kurang hebatnya dan mempunyai kualiti tersendiri.

Bukan hanya komposisi muziknya menyerlah, bahkan dari segi nukilan lirik, Sempurna boleh disifatkan sebagai antara karya tempatan sekarang yang menjadi siulan ramai sehinggakan menjadi antara lagu yang menduduki tangga teratas carta popular Spotify, Carta Malaysia 50.

Pertama sekali, terkesima dengan kualiti lirik yang dicernakan dalam Sempurna. Sebenarnya, dewasa ini, sukar untuk ‘berjabat tangan’ dengan lirik lagu yang kaya dengan frasa maksud mendalam dan berpuisi.

Sempurna mempunyai kualiti tersebut dan wajar meraih perhatian sesiapa yang mendengarnya.

‘Di dalam dakapanmu, ku diselimut bintang’. Itu antara nukilan lirik dalam lagu yang benar-benar membekas dan memberi makna mendalam buat pendengar, khususnya mereka yang sedang hanyut dalam kasmaran.

VERSI baharu lagu Sempurna nyanyian Insomniacks menjadi antara karya yang menduduki tangga teratas carta popular Spotify, Carta Malaysia 50.

Macam lagu Indonesia

Sempurna terkandung kualiti yang kukuh dari segi tulisan lirik, struktur lagu dan pengaliran emosi. Untuk itu, terima kasih Insomniacks.

Sekali dengar, Sempurna seperti naskhah ciptaan atau dendangan orang Indonesia yang terkenal dengan bunyi jenis sedemikian. Sejujurnya, kalau tak dilakukan carian Google tentang nama penyanyi atau lagu yang dinyanyikan, fikiran lantas meletakkan mereka sebaris dengan artis-artis Indonesia.

Pertama kali ‘meminjamkan’ cuping telinga mendengar lagu, sudah terus lekat dalam minda dan itu menandakan bahawa Sempurna bukan hanya mendodoi jiwa pendengar dari segi kualiti, namun turut terselit kuasa komersial yang kuat.

Adunan emosi seimbang

Biarpun turut diperkaya dengan tulisan lirik bahasa Inggeris, perihal berkenaan diadun dengan baik bersama elemen lain, termasuk penggunaan bahasa Melayu yang puitis.

Pada masa sama, melodi yang membelai jiwa dengan cukup mendalam.

Buat penulis secara peribadi, lagu ini bukan hanya ditujukan buat pasangan kekasih yang sudah berpergian rasa cintanya terhadap yang lain, tetapi tetapi kalau seseorang itu rindukan ibu yang melahirkan, mendengarnya juga membuatkan air mata menitis.

Itulah kuasa muzik. Andai saja nanti, kalaulah Insomniacks diberi kesempatan serta ruang untuk terus menonjolkan melodi, emosi dan bahasa cinta mereka di pentas besar seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi mendatang, itu satu perkara yang sangat luar biasa.

POPULAR