PERTANDINGAN memancing Petaling Jaya (PJ ) Joran 2022 meriah dengan menerima penyertaan hampir 1,000 orang.
Ia diadakan sempena sambutan Hari Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya 2022 yang ke-16 di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.
Pada pertandingan tersebut, Alam Shah Ali, 57, dari Klang, Selangor membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, selepas dinobatkan sebagai juara.
Selain hadiah wang tunai, dia turut menerima sebuah piala juara Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Pada pertandingan tersebut, dia berjaya menaikkan seekor ikan patin seberat 4.030 kilogram (kg) pada pukul 10.36 pagi dengan menewaskan 959 peserta lain.
Ketika ditemui, Alam Shah memberitahu, umpan cacing yang digunakannya pada kali ini membuahkan hasil.

Ujarnya, dia merancang untuk menggunakan hadiah kemenangan yang diterima untuk dikongsi bersama keluarga yang sentiasa menyokong minatnya itu.
“Kemenangan ini amat bermakna buat saya. Ini hadiah untuk keluarga yang selama ini menyokong minat saya dalam aktiviti memancing.
“Saya berharap pertandingan memancing anjuran MBPJ seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.
“Ini kerana, ia merupakan waktu terbaik bagi kaki pancing untuk berkumpul dengan keluarga, selain merapatkan hubungan silaturahim sesama kaki pancing lain selepas lama berehat di rumah ekoran pandemik Covid-19,” .katanya.
Dalam pada itu, tempat kedua dimenangi oleh seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Mat Nor, 52, selepas berjaya menaikkan seekor patin seberat 3.215 kilogram pada pukul 12.03 tengah hari.

Untuk itu, dia membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,500.
Tempat ketiga pula dimenangi Mohd. Zaid Yaacub, 44.
Dia telah menjinakkan spesies yang sama seberat 3.020 kg pada jam 11.06 pagi dan membawa pulang wang tunai RM1,500.
Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan memancing tersebut disempurnakan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md. Amir.
Mohamad Azhan berkata, beliau tidak menyangka pertandingan berkenaan mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada orang ramai.
Katanya, apa yang lebih membanggakan, ramai peserta sanggup datang dari jauh semata-mata ingin memeriahkan lagi program terbabit.
“Saya dimaklumkan, penyertaan peserta dari seluruh negara termasuk Kedah, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, selain Kuala Lumpur dan Selangor.

SEORANG peserta wanita menunjukkan hasil tangkapannya.
“Saya rasa pertandingan memancing PJ Joran ini wajar diteruskan lagi pada masa akan datang memandangkan sambutan yang diterima amat mengalakkan,” katanya.
Katanya lagi, pada pertandingan itu, lebih 300 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan kaki pancing seperti patin, keli, lekoh, puyu, koi dan tilapia.














