fbpx

Penjawat awam boleh baharu insurans kenderaan tanpa faedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (dua dari kanan) ketika melancarkan Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com di Putrajaya tadi. Foto Faisol Mustapa

PUTRAJAYA- Seramai 1.6 juta penjawat awam bakal menikmati kemudahan pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan melalui pembiayaan tanpa faedah selain boleh memperbaharui polisi tersebut tanpa bayaran pendahuluan kelak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemudahan itu diberikan kepada penjawat awam menerusi Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com yang dilancarkan hari ini.

“Pada 1 Mei lalu, saya telah mengumumkan Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia sempena sambutan Hari Pekerja 2022. Hari ini seperti yang dijanjikan, kerajaan menjadikannya satu realiti.

“Program seumpama ini yang dilaksanakan secara digital akan memberi kemudahan pembaharuan polisi insurans kenderaan dan cukai jalan melalui pembiayaan tanpa faedah atau sifar peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia di Hotel Marriot Putrajaya di sini tadi.

Katanya, penjawat awam juga boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan tanpa apa-apa bayaran pendahuluan selain manfaat bayaran balik pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan melalui Skim Potongan Gaji ANGKASA (SPGA).

“Melalui program itu juga, penjawat awam boleh memperbaharui insurans kenderaan di hujung jari dengan mudah, jimat dan pantas memandangkan Nota Perlindungan Insurans diperoleh dalam tempoh lima minit.

“Pembiayaan itu juga berlandaskan konsep patuh syariah Qardhul Hasan yang merupakan pinjaman tidak melibatkan faedah atau unsur riba,”’jelasnya.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut memaklumkan inisiatif terbaru itu boleh dinikmati penjawat awam bertaraf kontrak yang sedang berkhidmat ketika ini.

“Penjawat awam tetap dan bertaraf kontrak layak memohon skim Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia dengan syarat nisbah hutang tidak melebihi 60 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan.

“Selain itu, pembiayaan itu juga bakal diperluaskan kepada kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan sektor swasta dalam masa terdekat,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI