fbpx
IKAN pari seberat hampir 300 kg yang ditemui oleh seorang nelayan ketika memancing di Sungai Mekong 13 Jun lalu.

Pari gergasi Sungai Mekong cipta kejutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAIK sahaja melihat ikan pari yang melekat pada jaringnya, Moul Khun sudah tahu bahawa ikan tersebut adalah jauh lebih besar berbanding pari yang pernah dilihatnya sebelum ini.

Ternyata, tangkapan pemancing berusia 42 tahun yang berasal dari Kaoh Preah, sebuah pulau terpencil di Sungai Mekong, utara Kemboja itu kemudian dinamakan sebagai ikan pari air tawar paling besar di dunia yang pernah direkodkan.

Moul Khun menjadi tajuk di dada-dada akhbar minggu lalu apabila berjaya menaikkan seekor ikan pari seberat 299 kilogram (kg), sekali gus mengatasi rekod terdahulu bagi ikan air tawar terbesar pernah ditangkap.

Ikan pari betina yang diberi nama Boramy yang bermaksud ‘bulan penuh’ dalam bahasa Khmer ekoran bentuk tubuhnya yang mengembung itu ditangkap di Sungai Mekong pada 13 Jun lalu.

Ia kemudian dilepaskan semula ke sungai tersebut selepas saintis meletakkan tag atau tanda elektronik padanya bagi membolehkan mereka mengawasi pergerakan dan tingkah laku pari tersebut.

Bagi seorang ahli biologi ikan dari University of Nevada, Amerika Syarikat, Zeb Hogan, penemuan tersebut meningkatkan harapannya bahawa spesies ikan itu yang diancam kepupusan sebenarnya masih wujud.

“Ini membuktikan bahawa haiwan yang diancam kepupusan itu sebenarnya masih wujud.

“Ikan pari ini menjadi bukti bahawa alam semula jadi masih boleh menawarkan penemuan baharu dan luar biasa. Ia juga menunjukkan bahawa kebanyakan makhluk akuatik besar masih belum dikaji,” kata Hogan.

Hogan menjejaki ikan-ikan besar menerusi sebuah projek dikenali sebagai Megafishes Project bermula pada 2005 apabila seorang nelayan di utara Thailand mengangkat seekor keli seberat 293 kg.

Matlamat asal Megafishes Project adalah untuk mencari, mengkaji dan melindungi ikan air tawar terbesar di dunia.

BENTUK ikan pari yang leper memudahkannya dikenali berbanding ikan-ikan lain.

Projek itu memberi tumpuan kepada spesies yang boleh membesar sehingga menyamai sekurang-kurangnya saiz manusia setinggi sekurang-kurangnya 1.82 meter (m) dengan berat lebih 90 kg dan yang hidup secara eksklusif di dalam air tawar.

Pada 24 Jun lalu, Boramy disahkan oleh Guinness World Records sebagai ikan air tawar terbesar yang pernah ditemui di dunia mengatasi ikan keli yang ditemui di Thailand itu.

Ikan pari itu mempunyai lebar berukuran 2.1 m dan panjang 3.9 m itu menjadikannya juga sebagai ikan pari air tawar terbesar yang diketahui setakat ini.

Pari merupakan haiwan yang cukup mudah dikenal pasti serta merta memandangkan ia mempunyai bentuk badan yang leper.

Terdapat 200 spesies ikan pari yang mendiami lautan, sungai dan tasik di dunia.

Di laut, ikan pari mata kecil atau small eye stingrays pula merupakan pari paling besar di laut pernah direkodkan yang mana kelebarannya mencecah 2.2 m di perairan Mozambique.

Saintis dari Yayasan Megafauna Marin di Tofo, Mozambique buat pertama kalinya menggunakan ID foto untuk mengkaji haiwan yang sukar difahami itu di selatan negara itu, satu-satunya lokasi ia kerap dilihat.

“Kami melaporkan penampakan pertama pari mata kecil pada 2004 dan sejak itu, kami berusaha untuk mempelajari lebih banyak lagi tentang ekologinya sebelum terlambat,” jelas Dr. Andrea Marshall yang merupakan pengasas bersama dan saintis utama Yayasan Megafauna Marin.

Menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi Senarai Merah Spesies Terancam, sebanyak 31 peratus daripada spesies jerung dan pari di dunia diancam kepupusan disebabkan kekurangan usaha dan maklumat saintifik.

Ini sekali gus menyebabkan status pemuliharaan ikan pari mata kecil tidak dapat dinilai sehingga kini.

IKAN pari laut terbesar yang pernah dirakam di Mozambique.

Sama seperti jerung, ikan pari tergolong dalam kategori haiwan yang dipanggil elasmobranch, yang dicirikan oleh rangka badan tanpa tulang.

Badan pari yang leper membolehkan haiwan itu untuk berada di bahagian dasar lautan, sungai atau tasik untuk menyamar sambil memburu mangsanya.

Ikan pari mempunyai ekor yang lazimnya dipenuhi dengan toksin dan sekiranya ia berasa terancam, ikan pari akan mengangkat ekornya ke atas untuk mencederakan pemangsa.

Menurut majalah National Geographic, ikan pari wujud dalam pelbagai saiz, daripada sekecil pinggan makan sehinggalah sepanjang lima meter.

Beberapa spesimen ikan pari air tawar yang diketahui boleh mencapai berat sehingga 590 kg.

Selain memakan haiwan yang duduk di dasar lautan seperti cacing, kepah dan udang, ikan pari juga memakan serangga.

Ikan pari tidak dianggap sebagai ikan berbahaya, namun haiwan itu tular pada 2006 selepas mengakibatkan kematian personaliti televisyen popular kelahiran Australia, mendiang Steve Irwin.

Irwin diserang seekor ikan pari ketika sedang membuat rakaman sebuah rancangan televisyen yang bertajuk Ocean’s Deadliest yang mana dia dirakam berenang terlalu rapat dengan seekor ikan pari.

Ikan pari tersebut kemudian menyerang jantung Irwin menggunakan ekor beracunnya, menyebabkan pengacara itu maut.

Namun, kematian akibat ikan pari adalah amat jarang berlaku.

Racun pada tubuh haiwan itu hanya membunuh apabila ia terkena beberapa bahagian tertentu pada badan manusia, seperti yang berlaku dalam kes Irwin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN