fbpx

Piala AFC: KL City, Kedah ke separuh akhir zon ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOSUE meledak dua gol untuk membantu KL City menewaskan Tampines 2-1 di Cheras sebentar tadi. GAMBAR - AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Dua wakil negara, Kuala Lumpur (KL) City FC dan Kedah Darul Aman FC masing-masing berjaya meraih tiket ke separuh akhir saingan Piala AFC bagi zon ASEAN dengan cara tersendiri.

Kejayaan KL City berpunca hasil kemenangan 2-1 ke atas Tampines Rovers dari Singapura pada aksi terakhir Kumpulan H di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Kemenangan itu gagal membolehkan The City Boys muncul juara Kumpulan H apabila dibezakan dengan perbezaan jaringan yang dimiliki kelab Indonesia, PSM Makassar.

Namun, tiga mata berharga itu amat bermakna buat KL City apabila muncul pasukan tempat kedua terbaik daripada dua lagi wakil zon ASEAN, Visakha FC dan Hougang United untuk mara ke peringkat kalah mati.

Kapten KL City, Paulo Josue muncul wira buat skuad bimbingan Bojan Hodak itu apabila meledak dua gol pada minit ke-16 dan 21, manakala jaringan tunggal Tampines dijaringkan oleh Boris Kopitovic pada minit ke-37.

AL-MARDI menjaringkan gol menarik menerusi sepakan percuma untuk menewaskan Visakha 5-1 untuk melayakkan Kedah ke peringkat seterusnya Piala AFC. – KDA FC

Kejayaan juara Piala Malaysia 2021 itu turut diiringi Kedah yang berpesta gol membelasah Visakha 5-1 pada aksi terakhir Kumpulan G di Stadium Kapten I Wayan Dipta di Bali, Indonesia sebentar tadi.

Hatrik daripada Mahmoud Al-Mardi dan satu gol daripada Mohammad Fayadh Mohd. Zulkifli Amin serta Ronald Ngah Wanja bukan sahaja menceriakan penyokong Kedah, malah seluruh peminat bola sepak tanah air.

Pesta gol itu membolehkan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak merampas tangga teratas Kumpulan G dengan kelebihan perbezaan jaringan dan menyingkirkan Visakha serta tuan rumah, Bali United.

Kini, Kedah akan beraksi sebagai pasukan pelawat menentang PSM Makassar pada 9 Ogos, manakala kelab Vietnam, Viettel FC pula menanti kunjungan KL City (10 Ogos) di peringkat separuh akhir zon ASEAN. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI