fbpx

Perkukuh ekosistem bekalan elak krisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
FARID AHMAD TARMIJI, WARTAWAN EKSEKUTIF.

KENAIKAN harga barangan yang terus mencanak sejak akhir-ak­hir ini ternyata telah memberi impak yang besar kepada rakyat.

Golongan berpendapatan rendah atau B40 pasti terkesan de­ngan situasi ini.

Malah, baru-baru ini, sahabat penulis meluahkan bahawa dia rasa terbeban dengan kenaikan harga barangan sehingga tidak boleh menyimpan wang untuk tujuan kecemasan.

Menurutnya, kebanyakan harga barangan terutamanya makanan naik dengan agak mendadak.

“Saya bagi contoh mudah, harga sepinggan nasi goreng kampung kini sudah berharga RM7 berbanding dahulu sekitar RM5. Malah, harga bahan mentah lain seperti ikan, ayam dan lain-lain semuanya meningkat.

“Tidak mustahil harga makanan akan dinaikkan lagi memandangkan akan ada pene­tapan harga siling ayam yang baharu dan bermula esok, subsidi minyak berbotol dan telur akan dimansuhkan,” katanya.

Tambahnya, dia percaya ada peniaga akan cuba menaikkan lagi harga bagi mengurangkan kerugian mereka dan pengguna akhir yang menerima kesan kenaikan itu.

Secara realitinya, kita semua kini sedang berhadapan dengan krisis makanan sehingga menyebabkan harga barangan me­ningkat dengan mendadak.

Felo Kanan Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Fatimah Mohamed Arshad berkata, jika dilihat daripada faktor dalaman, Malaysia sebenarnya tidak mengeluarkan makanan yang mencukupi untuk membendung inflasi dan kejutan krisis makanan yang runcing ini.

Menurutnya, Malaysia sebagai negara pengimport bersih makanan menerima tempias yang hebat kerana masalah itu.

“Jika dilihat pada tahun 2020, negara mengimport 90 peratus keperluan daging kambing dan lembu, 79 peratus sayur-sayuran, 37 peratus beras dan 22 peratus buah-buahan.

“Keperluan ini merupakan makanan utama rakyat Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya, jika dihitung harga barangan meningkat lebih tinggi daripada paras ‘normal’ iaitu paras harga sebelum pandemik.

Dalam pada itu, Fatimah berkata, untuk jangka masa panjang sudah sampai masanya untuk Malaysia mengubah arah dan fokus kepada Polisi Makanan Diutamakan atau Food First Po­licy.

Melalui polisi ini, pembangunan kapasiti pengeluaran makanan harus dikukuhkan.

“Kita karus memperkukuhkan ekosistem pengeluaran daripada semua sudut iaitu institusi, teknologi, pengeluaran, pemasaran, hiliran dan pemerkasaan pengeluaran kecil dan lain-lain.

“Penyelidikan dan pembangunan negara dalam makanan perlu diberikan peruntukan besar untuk menjanakan inovasi seperti tanaman yang berhasil tinggi dan berdaya tahan dan penghasilan alat dan mesin serta kilang untuk pekebun kecil,” katanya.

Tambahnya, agensi kerajaan juga harus menyalurkan dana untuk pendayaupayaan petani dan tidak lagi mengkayakan subsidiari perniagaan.

Malah, subsidiari perniagaan agensi pertanian kerajaan perlu dihapuskan dan bilangan agensi dikecilkan supaya peruntukan pembangunan lebih besar daripada operasi.

Selain itu, sebarang monopoli atau pemusatan agihan input dan makanan perlu dihapuskan kecuali di bawah situasi runcing, bagi tujuan persaingan, pertumbuhan dan kesetaraan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI