fbpx

PCG jalin kerjasama dengan AFES

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Yusri (tiga dari kiri) menunjukkan dokumen MoU dengan Mohd. Zain (tiga dari kanan) selepas majlis pemeteraian antara PCG dengan AFES di Kuala Lumpur semalam.

PETALING JAYA – Petronas Chemicals Group Berhad (PCGB) dan Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES) bekerjasama untuk membekalkan sisa plastik dan sisa makanan serta menilai potensi perkongsian untuk membina kemudahan pengasingan sisa di Malaysia.

Kerjasama tersebut  dimeterai dengan kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan memperincikan rangka kerja kerjasama antara kedua-dua belah pihak.

Berdasarkan MoU tersebut, AFES akan membekalkan sisa plastik yang terdiri daripada polietilena (PE) dan polipropilena (PP) untuk PCG menghasilkan produk sirkular yang akan digunakan dalam pembungkusan makanan, penjagaan kesihatan dan aplikasi industri. 

AFES juga akan membekalkan sisa organik dan makanan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan ke arah potensi pembuatan baja bernilai tinggi untuk pertanian lestari.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, peralihan ke arah ekonomi sirkular memerlukan tindakan daripada pelbagai pihak berkepentingan, mereka yang terlibat dalam pengeluaran dan penghasilan hingga ke pengguna akhir produk serta mereka yang berada dalam industri pengurusan sisa. 

Penyertaan yang positif daripada organisasi-organisasi ini untuk bekerjasama dalam meneroka nilai ekosistem sisa pepejal di Malaysia, adalah bukti kepada perubahan ekonomi dan sosial dalam industri tersebut dalam memahami nilai komersial yang tersembunyi dalam sisa bahan buangan. 

“Dengan MoU ini, kami terus mempercepatkan inisiatif kami ke arah ekonomi sirkular dalam memastikan penggunaan dan pengeluaran plastik yang mampan,” katanya dalam kenyataan.

MoU tersebut telah dimeterai oleh Mohd Yusri bagi pihak PCG manakala AFES diwakili oleh Pengarahnya, Datuk Mohd. Zain Hassan.

Selain itu, Mohd. Zain menjelaskan, dengan menggabungkan kepakaran syarikat dalam penyelesaian dan sumber alam sekitar yang holistik bersama-sama dengan PCG, syarikat optimistik bahawa kerjasama ini akan menyumbang ke arah masa depan negara yang mampan dan menjadi tonggak penting bagi pertumbuhan ekonomi sirkular yang sihat di Malaysia. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI