fbpx

Kadar kes jenayah di Petaling Jaya catat penurunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fakhrudin ketika perhimpunan bulanan di IPD Petaling Jaya pagi ini.

PETALING JAYA – Polis memaklumkan kadar kes jenayah di daerah ini mencatatkan penurunan sebanyak 29.96 peratus bermula Januari hingga 28 Jun berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, penurunan itu membuktikan pihaknya komited mencegah kes jenayah.

“Perbandingan jenayah indeks bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Jun 2021 mencatatkan 2333 jumlah kes manakala bagi tempoh sama tahun ini pula sebanyak 1634 kes yang menunjukkan penurunan 699 kes atau 29.96 peratus.

“Penurunan ini menunjukkan komitmen kita dalam menangani jenayah di Petaling Jaya dan kita kini dalam usaha meningkatkan persepsi positif masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selepas menyempurnakan perhimpunan bulanan pasukan itu di sini.

Dalam perhimpunan itu, seramai dua pegawai rendah polis dinaikkan pangkat daripada sarjan mejar kepada sub inspektor, empat orang sarjan dinaikkan kepada sarjan mejar, dan 13 anggota berpangkat koperal dinaikkan kepada pangkat sarjan manakala beberapa anggota turut diberikan sijil penghargaan prestasi cemerlang.

Sementara itu Fakhrudin mendedahkan jenayah paling kerap dilaporkan berlaku di daerah Petaling Jaya membabitkan kes curi kenderaan khususnya motosikal.

“Jenayah utama di Petaling Jaya adalah kecurian kenderaan dan curi motosikal. Hotspot curi motosikal dikesan tertumpu di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) seperti di Lembah Subang, Desa Mentari dan Taman Medan.

“Kita sentiasa mengadakan kempen di kawasan tersebut dan bekerjasama dengan masyarakat setempat seperti persatuan penduduk, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), dan Ahli Majlis setempat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI