fbpx

Iraq catat kematian pertama akibat taun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAKYAT negara Iraq mendapatkan vaksin taun di daerah Jamiyah, Baghdad pada 1 November 2015. - AFP

BAGHDAD – Iraq melaporkan kematian pertama akibat wabak kolera atau taun di negara itu semalam, dengan 17 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam, lapor akhbar Arab News.

Kes kematian itu direkodkan di wilayah utara Kirkuk, kata Jurucakap Kementerian Kesihatan, Seif Al-Badr seperti dilaporkan oleh media tempatan. 

“Sepanjang 24 jam lalu, 17 kes baharu telah dikesan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 76 kes kolera didaftarkan di Iraq sejak awal tahun ini,” katanya. 

Wabak itu pertama kali dilaporkan secara rasmi pada awal bulan ini dengan wilayah Kirkuk menyumbang satu daripada 13 kes yang disahkan ketika itu.

Jangkitan lain kebanyakannya tertumpu di wilayah Sulaimaniyah, di wilayah autonomi Kurdistan.

Menurut Seif, wabak taun terakhir yang tercetus secara meluas di negara itu bermula sejak 2015 dengan wilayah Baghdad dan Babil paling teruk terjejas.

Kolera atau taun adalah penyakit cirit-birit akut yang boleh dirawat menggunakan antibiotik dan penghidratan. Wabak itu bagaimanapun boleh membunuh pesakit dalam beberapa jam tanpa rawatan perubatan.

Penyakit itu berpunca daripada sejenis kuman yang biasanya disebarkan oleh keadaan yang tidak bersih. Orang ramai akan dijangkiti apabila mereka menelan makanan atau air yang membawa pepijat. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI