fbpx
AINA ABDUL

Harga air mata, ‘alter ego’ Aina Abdul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENTAS berprestij Panggung Sari, Istana Budaya menjadi saksi kehadiran penyanyi Aina Abdul dalam industri muzik tanah air bukan main-main.

Baru sahaja bertapak dalam industri seni hiburan sejak sekitar lima tahun, tekad dan cita-cita besar Aina untuk menganjurkan konsert sulungnya termakbul pada 25 dan 26 Jun lalu biarpun terpaksa mengerah keringat dan air mata.

Semua itu demi menggapai antara impian wajib sebagai anak seni. Jiwa penyanyi berusia 29 tahun itu cukup teguh mahu bergelar seorang penghibur.

Lontarkanlah apa sahaja kritikan atau juga cacian kepadanya, Aina tidak mudah tersungkur biarpun mengakui sesekali jiwanya rapuh dek kelantangan suara negatif segelintir orang.

BUSANA yang diperbuat daripada rambut palsu sentuhan pereka fesyen terkenal, Melinda Looi menjadi antara gaya unik yang diperagakan Aina Abdul.

Air mata

Segala keperitan yang dilalui Aina akhirnya berbayar selepas konsert pertamanya, A Night With Aina Abdul 2.0 melabuhkan tirai dengan sorakan penonton yang disertai ‘standing ovation’ pemuja bakatnya.

Tidak keterlaluan jika penulis gambarkan Aina bagaikan kerasukan sepanjang malam konsert sulungnya di Istana Budaya.

Memulakan kerjaya dengan menyanyi di kelab malam, Aina berjaya membuktikan kemampuannya mengembangkan sayap, bukan sekadar bahkan komposer berpotensi.

Terharu dengan sambutan dan sokongan penonton yang hadir, air mata pemilik nama lengkap Nurul Aina Abdul Gani itu gugur meraikan malam bersejarah tersebut.

“Bukan mudah untuk saya menjayakan konsert malam ini. Banyak air mata mata saya gugur kerana tertekan apabila pelbagai isu lain yang tidak berkaitan diperkatakan.

“Saya sendiri tidak ingat berapa kali menangis setiap kali mengadakan perjumpaan bersama pasukan saya untuk konsert ini.

“Silap saya juga sebab terbawa-bawa dengan komen-komen netizen dalam media sosial. Saya akhirnya dinasihatkan pengurus supaya menjauhkan diri daripada media sosial dalam tempoh seminggu sebelum konsert,” katanya.

PENYANYI asal Seremban, Negeri Sembilan ini tidak menyangka apabila impiannya untuk mengadakan konsert akhirnya terlaksana walaupun menempuhi pelbagai cabaran dan dugaan.

Bertenaga

Pada malam persembahannya, Aina telah memberikan tenaganya 100 peratus pada nyanyiannya menerusi lagu-lagu hebat seperti Fool, Maybe dan Reminiscing.

Tidak ketinggalan, penyanyi bertubuh kecil molek itu turut mengalunkan lagu-lagu berhantunya yang menjadi siulan peminat seperti Sumpah, Semalam dan Sepi.

Sorakan dan pekikan peminat merancakkan lagi persembahan Aina menerusi segmen Bunga Raya apabila penyanyi itu menyanyikan lagu-lagu yang pernah dibawakan sewaktu menyertai pertandingan The Masked Singer seperti Mengapa, Listen dan Gemilang.

Di pentas mega tersebut juga, penyanyi yang sinonim dengan ‘fesyen unik’ itu seperti biasa, dia membuatkan penonton terpukau dengan perincian setiap gaya busananya.

Menggayakan tiga persalinan busana daripada tiga pereka fesyen hebat iaitu Melinda Looi, Zaimi Zulkafli dan Rizman Ruzaini, Aina tetap teguh dengan pendirian untuk membawakan gaya ekstravaganza ketika membuat persembahan biarpun sering dikecam netizen dek keganjilan fesyennya.

PERSEMBAHAN bertenaga Aina berjaya membuatkan netizen turut sama bagai ‘dirasuk’ dengan mutu nyanyian setaraf dengan penyanyi antarabangsa.

Baju rambut

Paling mencuri tumpuan, apabila Aina menggayakan pakaian yang diperbuat daripada rambut palsu dan sebenar sebagai perhiasan kepala sentuhan pereka fesyen, Melinda Looi.

Menurut Aina persalinan pertama tersebut hasil perbincangan bersama penata gayanya, Abu Shaef Hamza.

“Kesemua persalinan ada cerita tersendiri. ‘Outfit’ yang pertama boleh dikatakan sebagai ‘the alter-ego of Aina Abdul’ menggunakan lebih daripada 150 unit rambut palsu diimport dan dicampur bersama rambut asli.

“Agak berat untuk dipakai tetapi selesa, kukuh,” jelasnya.

Idea tersebut sebenarnya sudah dibincangkan bersama Abu sebelum tercetusnya perancangan konsert mega di Istana Budaya.

“Saya mahu menggunakan material yang lain daripada yang lain. Jadi Abu tunjukkan saya sekeping foto pakaian yang diperbuat daripada rambut.

“Melihat gaya itu, saya tidak fikir pereka fesyen lain boleh realisasikan impian saya selain daripada Melinda Looi,” jelasnya.

Selain busana rambut yang diberi nama The Hair Outfit, Aina turut menggayakan busana gaun kembang rona jingga rekaan Zaimi Zulkafli yang menggunakan lebih 2,000 meter kain dan gaun sarat tassel rekaan Rizman Ruzaini.

Menutup tirai konsertnya, Aina dengan semangat berharap akan terus menghiburkan penonton dan meminta peminatnya menantikan konsert seterusnya, A Night With

Aina Abdul 3.0 yang dijanjikan skala lebih besar.

“Doakan saya dapat berjumpa anda semua di konsert 3.0 saya yang lebih besar. Insya-Allah!” katanya sambil memberi lambaian kepada peminat.

AINA mendendangkan sebanyak 25 buah lagu sewaktu malam konsert A Night With Aina Abdul 2.0 di Panggung Sari Istana Budaya pada hujung minggu lalu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN