fbpx

Bekas pensyarah mangsa nahas terima sumbangan RM5,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Munadi Wan Mamat (kiri) menyatuni Sofiah dan suami selepas menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,500 di Melaka.

MELAKA – Kehidupan seorang bekas pensyarah yang berubah sekelip mata selepas terlibat dalam nahas jalan raya mendapat perhatian Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) apabila menerima sumbangan sebanyak RM5,500, di sini semalam.

Menurut Sofiah Mohamed, 52, dia yang merupakan bekas pengajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) terkejut apabila menerima kunjungan daripada YGMB selepas bersara pada April lalu.

Ujarnya, dia terlibat dalam nahas pada 2002, namun terpaksa menjalani pembedahan tahun lalu selepas tulang lehernya mula menindih urat saraf akibat kesan jangka masa panjang kemalangan.

“Alhamdulillah sumbangan yang diterima ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kami sekeluarga, terutama pendidikan anak-anak setelah suami berhenti kerja untuk menjaga saya.

“Walaupun kemalangan yang berlaku telah lama, namun sekarang baru saya rasa kesannya dan tahun lalu terpaksa menjalani pembedahan di leher,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Program Libat Urus Kepimpinan Guru Penolong Kanan dan Setiausaha HEM bagi sekolah-sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Melaka Tengah tahun 2022 di Auditorium Kompleks Sukan, Melaka Manipal Universiti College.

Sumbangan RM5,500 itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat kepada Sofiah.

Tambahnya, dalam pembedahan tersebut doktor telah memasukkan lapan skru di bahagian leher untuk menjarakkan tulang dengan urat sarafnya.

“Walaupun doktor telah menjelaskan antara risiko selepas pembedahan ialah lumpuh, tetapi Alhamdulillah saya masih lagi boleh bergerak walaupun terbatas dan segala urusan harian diambil alih suami.

“Saya juga perlu melakukan rutin harian dengan bantuan tongkat untuk memudahkan pergerakan,” katanya.

Ibu dua anak itu turut meluahkan terima kasih atas bantuan dihulurkan oleh pihak YGMB.

Dalam pada itu, Wan Munadi berkata, menurut statistik direkodkan, kebanyakan guru menghidap penyakit kritikal dan meninggal dunia adalah golongan berusia antara 35 hingga 55 tahun.

“Kita menyampaikan sumbangan ini kepada Sofea memandangkan dia adalah ahli YGMB sejak 2012 lagi dan kami cakna dengan kebajikan dirinya.

“Jadi saya menyeru dan menggalakkan agar warga pendidik untuk menjadi ahli di bawah YGMB bagi memperoleh manfaat bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI