JOHOR BAHRU – Rata-rata pelajar yang tinggal di kampus universiti awam merungut apabila kemudahan capaian internet yang disediakan masih berada pada tahap lemah.
Keadaan ini bukan sahaja dialami pelajar yang ditempatkan di kampus pedalaman, malah turut dihadapi mereka yang belajar di kawasan bandar.
Menurut seorang pelajar jurusan Diploma Sains dan Matematik sebuah universiti awam di Segamat yang mahu dikenali sebagai Haris Adam, 19, dia menghadapi kesukaran terutamanya dalam menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah.
“Saya merupakan pelajar semester kedua dan tinggal di kampus, masalah internet ini bukan masalah yang baharu, saya difahamkan sudah lama berlaku. Kalau Wi-Fi yang disediakan pihak universiti memang teruklah.
“Kadang-kadang ada, kadang-kadang tak ada langsung. Bagi mereka yang datang dari keluarga yang agak senang, mereka boleh pakai rangkaian internet yang dibayar secara bulanan.
“Kalau mereka yang betul-betul dari keluarga yang susah macam mana?” soalnya ketika dihubungi Kosmo! di sini.
Sementara itu, seorang lagi pelajar dari utara tanah air, Hakim Bakri, 22, berkata, ada dalam kalangan rakanya terpaksa berkongsi data untuk mendapatkan capaian internet yang baik.
“Kami bukannya datang dari keluarga yang senang, kebanyakannya terdiri daripada pelajar dalam kalangan keluarga B40. Kami terpaksa berkongsi hotspot untuk siapkan tugasan serta berbincang dengan rakan-rakan,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pelajar dari Pantai Timur, Fatin Ithanin, 22, berharap pihak pengurusan universiti serta kerajaan memandang serius isu atau masalah yang dihadapi pelajar.
Jelasnya, capaian internet dengan kelajuan yang tinggi merupakan satu keperluan dalam menyiapkan tugasan agar tidak tertangguh atau lewat hantar tugasan yang diberikan.
















