fbpx

Mat Kilau terus cipta magis, RM16 juta 5 hari tayangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof sudah mengutip RM16 juta selepas lima hari tayangan.

PETALING JAYA – Filem epik Melayu, Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan arahan sutradara Syamsul Yusof terus mencipta magis luar biasa di pawagam apabila sudah mengutip RM16 juta selepas lima hari tayangan.

Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd. Syamsul Mohd. Yusof berkongsi pengumuman membanggakan tersebut menerusi Instagram sebentar tadi.

“Kutipan tiket filem Mat Kilau semalam (Isnin) RM3.7 juta. Isnin hari orang bekerja, masya-Allah.

“Keseluruhan RM16 juta dalam hanya lima hari tayangan. Rekod perfileman negara terus tercipta,” kongsinya menerusi hantaran status tersebut.

Syamsul, 38, berkata, apa yang terjadi sukar dipercayainya dan semuanya umpama mimpi yang menjadi realiti.

“Abang (saya) macam tak percaya sokongan kalian terhadap filem ini. Bagai mimpi. Terima kasih Ya Rabbi,” coretnya sebagai kapsyen entri berkenaan.

Semalam, Kosmo! Online melaporkan Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-57 itu tidak menolak kemungkinan mengarahkan sambungan atau sekuel Mat Kilau.

Bagaimanapun Syamsul berkata, sekiranya hasrat itu menjadi realiti, sambungan tersebut bukanlah disebabkan jumlah kutipan pawagam filem berkenaan semata-mata.

“Tiada masalah nak buat Mat Kilau 2 tapi saya cuma nak tegaskan saya buat filem bukan sebab kutipan, untung atau wang ringgit semata-mata.

“Kalaulah apa yang saya buat sekarang memberi inspirasi kepada pengkarya di tempatan di luar sana untuk buat lebih banyak filem, saya cuma nak ingatkan, kalau kita buat filem waima filem sejarah sekalipun, kita buat betul-betul.

“Faham sejarah, buat ‘research’ dan tahu siapa golongan sasaran kita. Saya sendiri macam nak nangis pihak panggung beritahu ramai golongan emas ingin ke panggung semata-mata nak tonton Mat Kilau,” katanya.

Terdahulu, filem terbitan Studio Kembara tersebut meraih kutipan panggung lebih RM12 juta pada hari keempat tayangan.

Dalam pada itu, Syamsul memberi peringatan kepada audiens agar berkunjung ke panggung dengan tidak membocorkan filem arahannya dengan merakam dan berkongsi sedutan filem kepada umum.

“Tidak berbaloi keghairahan anda menonton Mat Kilau berakhir dengan tangisan di penjara.

“Jangan sesekali rakam dan sebarkan. Tindakan undang-undang akan diambil dan jangan sampai anda jadi mangsa ke penjara,” ujarnya mengulang siar satu entri akaun rasmi Instagram filem berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI