fbpx

Kerajaan negeri setuju tubuhkan Jawatankuasa Sekuriti Makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri hari ini. - FOTO: IHSAN PMO

PUTRAJAYA – Satu Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah akan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang sinergi antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan berkenaan dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Kabinet berkaitan dipengerusikan oleh beliau hari ini.

“Mesyuarat pada kali ini memberikan penekanan untuk mengukuhkan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bagi memperkasakan sekuriti bekalan makanan negara yang berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat daripada senario global pada masa kini.

“Cabaran-cabaran ini dipengaruhi oleh faktor antaranya peningkatan harga input pertanian seperti harga jagung bijian dan baja, kenaikan kos logistik serta cuaca ekstrem yang menyebabkan kekerapan berlakunya banjir dan kemarau yang mengganggu kitaran pengeluaran makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, menerusi mesyuarat itu juga, kerajaan negeri turut bersetuju untuk melaksanakan beberapa inisiatif antaranya meningkatkan keluasan tanah yang sesuai khususnya tanah milik negeri untuk aktiviti pertanian.

“Ia harus dilakukan dengan mewartakan kawasan tanah pertanian sebagai tanah rizab di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) dan kemudiannya memajakkan tanah rizab berikut di bawah Seksyen 63 KTN untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 hingga 21 tahun.

“Antara inisiatif lain yang dipersetujui juga adalah memperkasakan pemberian tanah milik negeri kepada anak syarikat kerajaan negeri berkaitan pertanian yang kemudiannya akan memajakkan tanah tersebut kepada usahawan tani untuk tempoh 30 tahun,” katanya.

Ujar beliau, mesyuarat turut bersetuju bahawa pihak berkuasa negeri boleh dan tertakluk kepada kaedah-kaedah tanah negeri meluluskan tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun serta boleh dilanjutkan seterusnya bagi setiap Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

Tambah beliau, kerajaan persekutuan juga telah bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan pengurangan atau pengecualian cukai terhadap industri agromakanan yang akan diberikan perinciannya oleh Kementerian Kewangan.

“Mesyuarat ini juga telah membuat keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyeragaman Kos Caj dan Fi bagi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi di Peringkat Negeri.

“Penubuhan jawatankuasa ini adalah bagi mengkaji dan mencadangkan mekanisme penyeragaman kos caj dan fi yang dikenakan bagi pembangunan infrastruktur komunikasi di seluruh negara,” ujar beliau.

Tambah beliau, ia berlaku disebabkan pemantauan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) yang mendapati kos caj dan fi yang dikenakan oleh pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi pusat sehenti dan agensi berkaitan di seluruh negara adalah berbeza.

“Penyeragaman kos caj dan fi ini akan menggalakkan pihak penyedia perkhidmatan meningkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur komunikasi secara menyeluruh di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI