PETALING JAYA – Isu liputan rangkaian telekomunikasi yang tidak stabil selain internet tanpa wayar (Wi-Fi) yang sangat terhad di universiti bukan hanya membebankan para pelajar untuk mengikuti pembelajaran online, malah turut menyukarkan kumpulan tersebut bagi mendapatkan maklumat.
Tinjauan Kosmo! di beberapa universiti di seluruh negara mendapati, rata-rata daripada pelajar yang ditemui melahirkan rasa kecewa dan rungutan mengenai tahap keberkesanan liputan internet di kampus mereka.
Tidak hanya liputan internet, kemudahan Wi-Fi yang disediakan oleh pihak universiti juga sangat terhad, sehingga menyukarkan untuk mendapat capaian ketika waktu puncak.
Di Kota Bharu, Kelantan, ramai pelajar yang mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota Bharu dan Bachok terpaksa keluar dari kawasan kampus semata-mata untuk mendapatkan capaian internet yang lebih stabil.
Meskipun kawasan kampus terletak tidak jauh dari kawasan bandar, namun isu Wi-Fi dan internet yang tidak stabil menyebabkan mereka sukar untuk membuat carian mengenai rujukan pembelajaran.
Seorang pelajar Ijazah Sarjana Komunikasi Perniagaan yang mahu dikenali sebagai Sarah, 25, berkata, masalah capaian internet di kampus itu tidak pernah selesai sejak dia menyambung pengajian di universiti tersebut tiga tahun lalu.
Menurutnya, masalah internet pada telefon pintarnya yang disambungkan secara ‘hotspot’ pada komputer riba juga semakin teruk terutamanya ketika hujan lebat.
“Saya adalah pelajar sambilan dan ada kuliah yang dijalankan secara dalam talian meskipun berada di dalam kampus. Saya terpaksa mencari kawasan tertentu untuk menerima capaian internet ketika berada di dalam kampus,” katanya.
Menurut Sarah, sebagai pelajar yang melanjutkan pelajar pada peringkat tertinggi, internet merupakan antara keperluan penting untuk menyiapkan tugasan terutamanya semasa berada di dalam kampus.
Katanya, selain kuliah secara bersemuka, pengajian secara dalam talian juga merupakan kaedah yang penting sejak pandemik Covid-19 melanda negara lebih dua tahun lalu.
“Pihak universiti, syarikat telekomunikasi dan pihak berkuasa perlu memainkan peranan penting untuk menyelesaikan masalah ini. Jika tidak, pelajar pastinya kurang berminat untuk menjadikan kampus sebagai lokasi tumpuan belajar dan memilih untuk berada di luar,” katanya.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Komunikasi Perniagaan dikenali sebagai Arif, 34, dia menghadapi masalah capaian internet tidak stabil sejak mengikuti pengajian di kampus itu sejak hampir dua tahun lalu.
Katanya, perkhidmatan Wi-Fi yang disediakan oleh pihak universiti juga tidak stabil dan kebanyakan pelajar terpaksa menggunakan talian telefon sendiri.
“Saya sering menggunakan Wi-Fi di kedai makan berhampiran kampus untuk melayari internet bagi mendapatkan maklumat untuk bantuan pembelajaran.
“Wi-Fi kampus tidak stabil, malah talian 4G juga sama. Perkara ini perlu diambil serius oleh pihak yang berkenaan,” katanya.
Di Kangar, Perlis, seorang pelajar sebuah universiti di sini mengakui liputan internet di kampusnya sangat tidak konsisten sehingga menyukar pelajar untuk fokus dalam pengajian.
Dia yang juga pelajar jurusan kejuruteraan kimia dikenali sebagai Izzati berkata, capaian internet menggunakan Wi-Fi juga bergantung kepada kedudukan bilik dari panel router.
“Bilik saya terletak agak jauh dari panel tersebut menyebabkan saya terpaksa keluar ke hadapan pintu rumah bagi mendapat akses internet yang lancar.
“Keadaan itu menyebabkan saya memilih untuk menggunakan data sendiri. Namun begitu, tidak semua rangkaian baik di kawasan Padang Besar sehingga memaksa saya menggunakan dua kad sim,” katanya.
Seorang lagi pelajar yang mahu dikenali Nur Aliza berkata, gangguan Wi-Fi di kampus biasanya berlaku akibat ramai pelajar yang menggunaka kemudahan itu dalam satu-satu masa.
“Sebagai contoh, pernah berlaku gangguan Wi-Fi ketika menjawab ujian secara dalam talian sehingga kami meminta kepada pensyarah agar memanjangkan tempoh penghantaran tugasan.
“Kami juga pernah keluar dari kawasan kampus untuk mencari pusat siber bagi menyiapkan tugasan yang memerlukan internet,” katanya.
















