fbpx
Filem Mat Kilau mula ditayangkan di pawagam tempatan sejak 23 Jun lalu.

Kebangkitan penonton, 4 hari tayang Mat Kilau kutip RM12.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Filem epik Melayu arahan pengarah terkenal Syamsul Yusof, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terus melakar sejarah tersendiri apabila meraih kutipan panggung lebih RM12 juta pada hari keempat tayangan.

Syamsul menerusi hantaran terbaharu dalam Instagram menzahirkan keterujaan apabila filem terbitan Kembara Studio dengan kerjasama Skop Productions tersebut terus mencipta magis dan mendapat tempat dalam kalangan penonton.

“Mat Kilau atasi kutipan filem Jurassic World dan Top Gun Maverick. Luar biasa!

“Ini kebangkitan penonton Malaysia, Singapura dan Brunei. Syukur Ya Allah,” tulisnya ringkas.

Dalam pada itu, syarikat pawagam terbesar negara, GSC Cinemas (GSC) menerusi Instagram rasmi mereka turut berkongsi kejayaan kutipan luar biasa filem tersebut.

“Terima kasih Malaysia! Filem Mat Kilau telah berjaya mengutip RM12.2 juta di pawagam Malaysia selepas empat hari tayangan,” coretnya.

Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 38, ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi memaklumkan, apa yang berlaku sekarang membuktikan filem Melayu yang mengangkat nilai sejarah juga mampu mencipta kejayaan.

“Alhamdulillah. Itulah, ini semua membuktikan satu kebangkitan luar biasa filem Melayu tempatan. Kebangkitan filem kita yang dibikin oleh pengkarya kita.

“Saya sebenarnya tak menjangka langsung sambutan audiens sehebat ini sampai dalam empat hari dah kutip lebih RM12 juta. Apapun, saya sangat bersyukur dan syabas buat semua tenaga kerja produksi atas kejayaan bersama ini,” katanya.

Syamsul turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada para peminat yang mempromosikan filem ini dalam sosial media.

“Saya dapat tahu orang bercakap tentang filem ini sehingga trending dalam Twitter dan TikTok. Terima kasih yang membuat ulasan. Terima kasih yang berbusana Melayu siap bertanjak ke panggung.

“Orang kita sebenarnya sayangkan filem pengkarya tempatan tapi mereka mahukan sesuatu yang betul-betul berkualiti. Saya tak nafikan dalam pada orang menyukai filem ini, ada juga yang mengkritik tapi saya tak kisah sebab itu semua sesuatu yang sihat untuk kemajuan filem tempatan,” ujarnya lagi.

Ditanya ada kemungkinan sekuel Mat Kilau, Syamsul berkata: “Tiada masalah nak Mat Kilau 2 tapi saya cuma nak tegaskan saya buat filem bukan sebab kutipan, untung atau wang ringgit semata-mata.

“Kalaulah apa yang saya buat sekarang memberi inspirasi kepada pengkarya di tempatan di luar sana untuk buat lebih banyak filem, saya cuma nak ingatkan, kalau kita buat filem waima filem sejarah sekalipun, kita buat betul-betul.

“Faham sejarah, buat ‘research’ dan tahu siapa golongan sasaran kita. Saya sendiri macam nak nangis pihak panggung beritahu ramai golongan emas ingin ke panggung semata-mata nak tonton Mat Kilau.”

Terdahulu, filem yang menelan kos belanja RM8 juta diterajui barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Wan Hanafi Su, Fattah Amin, Beto Kusyairy dan Yayan Ruhian itu meraih kutipan luar biasa di pawagam tempatan iaitu RM1 juta hanya pada hari pertama tayangan.

Sehingga kini, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan kekal unggul di tangga pertama carta filem pecah panggung GSC mengatasi karya-karya luar negara seperti Top Gun Maverick, The Black Phone, Elvis dan Vikram. – KOSMO! ONLINE

POPULAR