UJAR Dr. Nazian Hanna, kanser ovari biasanya berlaku dalam kalangan wanita berusia 50 tahun dan ke atas.

Kanser ovari pembunuh senyap, tiada simptom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMATIAN mengejut anak seni serba boleh, Adibah Noor Mohamed Omar pada usia 52 tahun awal minggu lalu ternyata mengejutkan masyarakat di negara ini.

Menyembunyikan penyakit yang dihidapinya di sebalik personaliti ceria, selebriti versatil itu sebenarnya berperang dengan kanser ovari tahap empat sejak beberapa bulan lalu.

Berita sedih itu bagaimanapun mula membuka mata masyarakat di negara ini mengenai salah satu kanser yang banyak menyerang golongan wanita di negara ini.

Bagi mengetahui lanjut mengenai penyakit tersebut, wartawan Kosmo! Ahad KHAIRIYAH HANAFI menemu bual Pakar Obstetrik & Ginekologi dari Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr. Nazian Hanna Yaacob di kliniknya baru-baru ini.

KOSMO AHAD!: Apakah penyebab utama atau punca kanser ovari berlaku dan sejauh mana risiko kepada pesakit berbanding kanser-kanser lain, maksudnya adakah ia boleh membawa kematian jika tidak dirawat segera?

DR. NAZIAN HANNA: Kanser ovari merupakan kanser keempat yang berlaku dalam kalangan wanita dan ia merupakan masalah serius.

Ini memandangkan hampir 80 peratus individu hanya menyedari mereka menghidap kanser ovari apabila ia berada pada tahap ketiga, yang mana pada tahap itu, sel kanser sudah merebak ke bahagian usus.

Bahkan kanser ini juga tidak mempunyai tanda-tanda dan ia boleh dikategorikan sebagai pembunuh senyap.

Tiada punca utama yang menyebabkan seseorang yang menghidapi kanser ini. Bagaimanapun, terdapat tiga faktor penymbang iaitu sejarah, wanita yang tidak pernah hamil atau menyusukan badan dan obes.

Bagi genetik, individu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser berisiko antara 20 hingga 50 peratus untuk menghidapnya.

Biasanya wanita yang tidak pernah hamil lebih berisiko berbanding mereka yang pernah hamil dan mempunyai anak, memandangkan golongan ini mempunyai ovari yang sentiasa aktif menghasilkan kitaran haid.

Berbeza bagi mereka yang pernah hamil, tempoh kehamilan dan disusuli dengan penyusuan, menyebabkan kitaran haid terhenti seketika.

Ini membolehkan ovari berehat sekurang-kurangnya dua tahun, sekali gus mengurangkan risiko untuk menghidap kanser.

Individu obesiti terutamanya morbid obese juga dikatakan berisiko menghidap kanser ovari. Kebarangkalian pesakit untuk bertahan ada, tetapi bergantung kepada sel kanser tersebut sama ada agresif ataupun tidak.

Siapa dan pada usia berapakah seseorang wanita itu berisiko tinggi untuk menghidap kanser ovari dan adakah ia juga boleh berlaku kepada wanita yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidapnya?

Kanser ini biasanya berlaku terhadap wanita yang berusia dalam lingkungan 50 tahun dan ke atas. Ia biasa dikesan apabila seseorang wanita itu melalui fasa menopause.

Individu yang mempunyai sejarah keluarga kanser payudara, ovari dan usus berisiko untuk menghidap kanser ovari memandangkan ketiga-tiga jenis kanser ini adalah berkaitan antara satu sama lain.

Kanser ini mempunyai empat tahap yang mana di tahap pertama, kanser berada pada salah satu daripada kedua-dua ovari dan tidak merebak ke bahagian badan lain.

Manakala di tahap dua pula, ia mula merebak di luar ovari sehingga ke pelvik. Ini melibatkan tiub fallopio, pundi kencing dan rektum.

Di tahap tiga, kanser telah merebak di luar pelvik hingga ke bahagian perut dan di tahap empat pula, ia merebak di luar abdomen sehingga ke organ-organ lain seperti hati, tulang dan paru-paru.

Ada orang berkata, penggunaan bedak (talcum powder) juga boleh menyebabkan terjadinya kanser itu. Sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut dan adakah ia telah dibuktikan secara klinikal?

Boleh dikatakan ia hanyalah mitos semata-mata. Bagaimanapun isu penggunaan bedak talkum sebenarnya lebih kepada kulit.

Umum mengetahui, kebanyakan manusia mempunyai kulit yang kering dan penggunaan bedak talkum akan menjadikan permukaan kulit individu bertambah kering.

Pun begitu, ia tidak boleh menyebabkan kanser ovari sebaliknya risiko kanser lain seperti kanser vulva, terutamanya jika berlakunya iritasi pada kulit berulang.


BEGINILAH keadaan ovari yang dijangkiti sel-sel kanser.

Mungkin sesuatu penyakit boleh dicegah dari awal dengan melihat kepada simptom atau tanda-tandanya. Boleh Dr. terangkan gejala atau tanda kanser ovari pada peringkat awal dan seterusnya untuk dijadikan panduan kepada semua wanita di luar sana agar lebih berhati-hati?

Agak sukar untuk dikesan dari awal memandangkan ovari yang terletak di dalam bahagian pelvik.

Ini menyebabkan sebarang keganjilan berlaku terhadap organ sebesar kira-kira 3 sentimeter ini sukar untuk dirasai oleh individu itu sendiri.

Ia sukar untuk dirasai, tetapi wanita itu boleh menjalankan pemeriksaan kesihatan di klinik mahupun hospital.

Disebabkan itu juga, selalunya pesakit hanya datang apabila kanser sudah berada di tahap ketiga memandangkan pada waktu itulah tanda-tanda mula dirasai.

Antara tanda-tanda tersebut seperti tidak lawas membuang air kecil atau besar serta merasai tekanan di bahagian pelvik, cepat kenyang, penurunan berat badan secara mendadak, kepenatan, haid yang tidak teratur, mengah dan kurang selera makan.

Ia hampir sama seperti penyakit lain. Disebabkan itu penting bagi individu untuk menyedari perubahan pada diri sendiri.

Sehingga hari ini, sejauh mana kesedaran kaum wanita di negara ini berkaitan kanser ovari dan usaha-usaha pihak berkaitan dalam memberikan penerangan dan maklumat kepada golongan sasar terbabit?

Tidak dinafikan kesedaran dalam kalangan masyarakat masih rendah dan ada yang berasakan ia tidak penting.

Disebabkan itulah kebanyakan pesakit yang datang sudah berada di tahap tiga.

Bukan itu sahaja, ada beranggapan perubahan fizikal yang dialami mereka sebenarnya disebabkan oleh buncit dan masalah kegemukan semata-mata.

Pada saya, kerajaan mungkin perlu menguatkuasakan kewajipan pemeriksaaan pap smear dan perut dengan mengambil contoh negara-negara luar seperti United Kingdom dan Singapura, yang mana mereka mewajibkan setiap wanita untuk menjalani pemeriksaan berkala.

Ada juga yang bimbang jika mereka menghidap kanser tersebut akan memberi kesan kepada bayi dalam kandungan. Persoalannya, bolehkah seseorang itu hamil jika menghidap kanser ovari dan jika ya, apa risiko yang perlu dihadapi mereka?

Situasi ini amat jarang berlaku dan setakat ini tiada wanita hamil yang mempunyai kanser ovari, melainkan ketumbuhan biasa.

Kebiasaannya, apabila wujudnya ketumbuhan di dalam bahagian reporduktif wanita ketika hamil, pembedahan bagi membuang ketumbuhan akan dijalankan.

Jika ia adalah kanser, bayi tersebut akan dikeluarkan lebih awal sebelum pembedahan bagi membuang kanser dilakukan. Pun begitu, situasi tersebut jarang berlaku.

Kebanyakan ketumbuhan besar sewaktu mengandung dan jarang sekali kehamilan dan kanser ovari berlaku secara serentak.

Tambahan pula, kanser ovari ialah kanser yang menjejaskan sistem pembiakan wanita dan ovari pula merupakan organ yang menghasilkan telur dan hormon wanita seperti estrogen dan progesteron.

Apakah rawatan yang diperlukan pesakit dan sejauh mana teknologi perubatan terkini membantu wanita yang menghidap kanser ovari melalui ujian tersebut dengan penuh keyakinan bahawa ia boleh sembuh?

Kanser boleh diubati dengan melakukan beberapa kaedah rawatan seperti menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan kanser ovari dan juga kemoterapi.

Pembedahan biasanya dijalankan bagi membuang salah satu atau kedua-dua kilang telur, rahim, saluran peranakan bergantung kepada umur dan tahap kanser yang dihidapi memandangkan ia boleh merebak.

Rawatan seterusnya memerlukan kemoterapi. Ia dilakukan bagi membunuh sel-sel kanser yang masih ada selepas pembedahan dijalankan.
Bagaimanapun, ia boleh dilakukan sebelum pembedahan.

Sekarang akses terhadap ultrasound mudah, biarpun di klinik-klinik biasa dan wanita perlu ambil kesempatan itu untuk memeriksa kesihatan sendiri dan membuat saringan awal.

Betulkah sesetengah rawatan yang diberikan memberi efek atau kesan sampingan kepada organ dalam lain seperti buah pinggang, hati, usus dan sebagainya? Jika benar, apa lagi pilihan yang pesakit ada bagi mendapatkan rawatan?

Tidak dinafikan rawatan yang diberikan bagi merawat kanser memberi kesan sampingan terhadap organ dalaman lain.

Ini kerana kemoterapi tersebut akan masuk di dalam darah bagi membunuh sel-sel yang disasarkan dan secara tidak langsung mengganggu organ lain.

Biasanya individu yang melalui proses kemoterapi akan menjadi tidak berapa sihat kesan daripada ubat-ubatan yang digunakan sepanjang proses tersebut. Tetapi pilihan yang ada tidak banyak. Selain kemoterapi, tiada kaedah lain yang ada untuk membantu pesakit-pesakit kanser buat masa ini.


MENURUT Dr. Nazian Hanna, rawatan yang diberikan bagi merawat kanser memberi kesan sampingan terhadap organ dalaman lain.

Adakah penghidap kanser ovari boleh sembuh sepenuhnya dan menjalani kehidupan normal seperti sebelum ini?

Setiap kanser mempunyai karakter tersendiri sama ada ia sensitif terhadap kemoterapi yang membolehkan individu pulih sepenuhnya ataupun tidak.

Memang ada pesakit kanser ovari yang pulih sepenuhnya dan ada yang sebaliknya. Jika boleh sekalipun, kanser itub akan berulang semula dalam masa beberapa tahun dan mereka perlu bergantung kepada kemoterapi.

Apa-apa pun bagi mereka yang sudah berada di tahap tiga dan empat, kebarangkalian untuk pulih agak sukar memandangkan pada tahap tiga, kanser tersebut telah merebak di luar pelvis sehingga ke perut dan di tahap empat pula kanser telah merebak di luar abdomen ke organ-organ lain seperti hati dan paru-paru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN