fbpx
BERGAMBAR bersama tangkapan sebelum pulang ke jeti.

Kejang tangan penangan talang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh Dzul Asyraf

BERMULA dengan sembang kosong ketika bersarapan bersama geng Jenggo Hunters di Cafe ZM, Merbau Sempak, Sungai Buloh, Selangor, salah seorang sahabat yang juga YouTuber, Adi Adlan secara berseloroh mengusulkan untuk ke satu lokasi memancing yang semakin dilupakan iaitu One Fathom Bank (OFB) di perairan Klang.

OFB ialah sebuah rumah api yang mula ditempatkan pada 1852 sebelum binaan kekal pertama disiapkan pada tahun 1874, namun ia mengalami beberapa pembaikan sehinggalah pada tahun 1907 apabila binaan bangunan bersimen dibina.

Padan 1999, satu bangunan baharu lebih moden dibina bagi menggantikan fungsi OFB yang pertama dan terletak bersebelahan. Ia amat terkenal dalam kalangan kaki pancing selat Melaka sebagai lubuk ikan bersaiz besar.

Kebetulan, beberapa hari sebelum itu, penulis menonton video seorang YouTuber, Rizal Joran memancing di situ.

Dengan segera penulis, secara peribadi menghantar pesanan melalui akaun Facebook Rizal, bertanyakan maklumat tekong yang membawanya ke situ.

Rizal hanya membalas mesej dari penulis beberapa hari kemudian disebabkan telefon bimbitnya rosak dan berkongsi laman Facebook tekong Nasir Ramli.

Tanpa membuang masa, penulis menghubungi Nasir untuk menetapkan tarikh mengikut air yang sesuai untuk turun ke lokasi tersebut.

Tiba hari yang dinantikan, penulis disertai Adi Adlan, Zahran (Aboy) Zainuddin, Zahir (Ebby) Ghazali dan juga Najib (Toi) Zamian turun ke Jeti Nelayan Kampung Telok Nipah, Pulau Indah seawal pukul 7 pagi. Sejurus sampai, Nasir sudah sedia menunggu kami berlima.


PENULIS bersama talang pertama yang berjaya dinaikkan menggunakan set joran BC 8-15lb bersama jig 20g berwarna perak
di OFB.

Jarak perjalanan menaiki bot dengan kapasiti enjin 115 kuasa kuda memakan masa lebih sejam, namun keterujaan untuk ke OFB membuatkan perjalanan kami tidak begitu terasa.

Dipertengahan perjalanan, Nasir memberhentikan bot di point pertama untuk cuba memancing ikan jenis bersisik.

Menggunakan jig seberat 80g, disini teknik ketukan dasar digunakan, jig dibiarkan tenggelam sehingga mencecah dasar sebelum dihenjut secara perlahan-lahan.

Hampir sejam, namun tiada hentaman ganas yang dapat dirasai, hanya ketekukan ikan yang ingin menguji jig berwarna kilat penulis.

Seterusnya perjalanan diteruskan ke lubuk kapal karam berhampiran OFB dan menukar dari teknik jigging kepada teknik mengilat menggunakan gewang.

Struktur dasar badan kapal yang tenggelam menyukarkan untuk mempraktikan teknik jigging di situ.

Balingan seterusnya tiada yang sudi menyambar, tekong mencadangkan untuk kembali ke OFB, memandangkan ketika itu air sesuai untuk memancing ikan berekor V, jenis ikan yang paling dicari pemancing yang gemarkan cabaran fizikal.

Tiba di OFB, masih lagi menggunakan set mengilat, namun menukar strategi dan cara mengayakan jig di paras pertengahan air atas nasihat Nasir. Jig yang sesuai adalah bersaiz 20-30g.

Strike pertama diperoleh Adi, seekor talang seberat 2 kilogram (kg) membaham jig jenis bulu ayam, biasa digunakan untuk memikat tenggiri.

Bunyi nyaring kekunci drag memecah ketenangan, apabila jig kepunyaan penulis pula dihentam si talang.
Memandangkan penulis menggunakan set mengilat, terasa sedikit mencabar buat penulis sebelum dapat menewaskan ikan.

Hasilnya talang kedua yang lebih kurang sama berat dengan kepunyaan Adi dapat dinaikkan.
Aboy, Ebby dan Toi masih lagi mencuba, sebelum penulis dan Adi mendapat double strike di bahagian ekor bot.

TALANG yang berjaya dijinak menggunakan jig bulu ayam.

Sebaik menaikkan ikan di bahagian belakang, tiba giliran mereka bertiga di hadapan bot, kali ini triple strike.

Ebby dan Aboy berjaya memperolehi lesen jig pertama mereka, memandangkan ini adalah kali pertama menurunkan jig di laut.

Kerap kali juga kelihatan jig penulis dikejar ikan GT yang bersaiz agak kasar, namun dipintas oleh talang yang lebih laju berbanding ikan lain.

Pertama kali sepanjang memancing di laut, penulis disajikan dengan halwa mata yang begitu menakjubkan apabila melihat percikan air kumpulan ikan talang dalam kelompok yang besar menghambat ikan bilis.

Serta merta tekong Nasir mengarahkan menukar teknik dengan jig hendaklah dibaling sejauh mungkin, lalu dibiarkan jig tenggelam selama lima saat sebaik mencecah air sebelum dikarau selaju mungkin dipermukaan air.

Muncung joran hendaklah dihalakan ke dalam air.

Keseronokan melihat ikan mengejar jig membuatkan penulis danj rakan-rakan semakin teruja, seekor demi seekor talang bersaiz kasar berjaya ditewaskan.

Penulis sendiri mengalami kekejangan di tangan kerana menahan asakan talang yang bertalu-talu.

Itulah risiko menggunakan teknik karauan jig secara laju.
Adi, Ebby, Aboy dan Toi juga mengalami nasib sama, kejang tapak tangan.

Sebanyak 20 ekor talang berjaya dinaikkan pada hari tersebut.

ABOY bersama talang yang ditangkapnya.

Pukul 4 petang, penulis mengajak tekong Nasir untuk kembali ke OFB, untuk jig secara santai kerana kesemua kami sememangnya kepenatan.

Di OFB, penulis berjaya menaikkan seekor cencaru kuda, bersaiz sedikit besar daripada botol 1.5 liter.

Tepat pukul 6 petang, penulis mengajak tekong Nasir untuk pulang ke jeti memandangkan hari semakin gelap.

Secara keseluruhan, hasil tangkapan pada trip ini sangat memuaskan dengan penulis sendiri menaikan sebanyak sembilan ekor talang pelbagai saiz termasuk seekor ikan bonus, cencaru kuda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN