fbpx
Ismail Sabri (kiri) ketika menyertai Dialog Peringkat Tertinggi Mengenai Pembangunan Global yang berlangsung di sela-sela Sidang Kemuncak BRICS ke-14 hari ini.

3 cadangan dikemukakan Malaysia dalam Dialog Peringkat Tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Sebanyak tiga cadangan khusus telah dikemukakan Malaysia dalam konteks meningkatkan kerjasama antarabangsa selain memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyuarakan cadangan-cadangan tersebut semasa Dialog Peringkat Tertinggi Mengenai Pembangunan Global yang berlangsung di sela-sela Sidang Kemuncak BRICS ke-14 dipengerusikan Presiden China, Xi Jinping.

Tiga cadangan tersebut ialah pengukuhan arkitektur pembangunan antarabangsa, pengukuhan sistem pelbagai hala serta merealisasikan komitmen untuk menangani krisis alam sekitar dan iklim.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut berkesempatan menegaskan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi bagi mencapai Agenda Pembangunan Mampan seperti termaktub di dalam pelbagai dasar kerajaan termasuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menerusi satu kenyataan oleh Kementerian Luar, Perdana Menteri turut menekankan usaha Malaysia untuk melaksanakan agenda berkenaan di peringkat tempatan melalui penubuhan Kumpulan Rentas Parlimen Malaysia Mengenai Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) dan Yayasan MySDG.

“Malaysia turut menggalakkan lebih banyak pelaburan berasaskan pembangunan mampan dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan hijau dan penciptaan pasaran baharu,” katanya hari ini.

Berformatkan BRICS Plus, Sesi berkenaan turut disertai pemimpin Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan dan dua belas Ketua Negara atau kerajaan lain.

Di bawah tema “Memupuk Perkongsian Pembangunan Global untuk Era Baharu dalam Melaksanakan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan secara Bersama”, para pemimpin turut membincangkan kepentingan perpaduan di peringkat antarabangsa.

Selain itu, mereka juga berkongsi kerjasama yang berkesan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan termasuk menggalakkan pemulihan global, pembaharuan tadbir urus global dan perkongsian pembangunan global yang inklusif.

Penyertaan Perdana Menteri di Dialog Peringkat Tinggi mengenai Pembangunan Global itu mencerminkan komitmen Malaysia dalam melaksanakan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan.

Ia termasuklah menggalakkan kerjasama antarabangsa berkesan untuk membantu negara membangun lain dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan.- KOSMO! ONLINE

POPULAR