fbpx

Syed Saddiq disyaki bersubahat berhubung kehilangan RM250,000 – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, polis mengesyaki Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersubahat dengan dua lagi individu berhubung kehilangan wang anggaran RM250,000 daripada peti besi di rumah Ahli Parlimen Muar itu, dua tahun lalu.

Asisten Supritendan Ahmad Marzuqi Ibrahim, 39, siasatan menjurus kepada Syed Saddiq, Siti Nurul Hidayah dan Lim Hooi Sean kerana hanya mereka bertiga yang mengetahui kata laluan rahsia peti besi tersebut.

Saksi pendakwaan kelima itu yang juga pegawai penyiasat bagi kes kehilangan wang berkata, bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati, hanya terdapat cap jari Syed Saddiq pada almari dan kawasan peti besi tersebut.

Menurut Ahmad Marzuqi, pihaknya kemudian menghantar surat permohonan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan maklumat untuk membantu siasatan namun tidak memperoleh jawapan daripada bank pusat itu.

Pegawai polis itu turut mengesahkan, hasil siasatan mendapati tiada sebarang kesan umpilan pada peti besi dan hanya terdapat kesan cap jari Syed Saddiq manakala biliknya berada dalam keadaan kemas.

Ujarnya, beliau tidak melakukan seberang pengesahan atau siasatan bagaimana Syed Saddiq memperoleh wang tersebut kerana siasatan dilakukan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu kecurian dalam bangunan.

“Tambahan pula YB Syed Saddiq telah mengesahkan bahawa wang yang hilang adalah wang simpanan beliau dan ibu-bapa beliau,” ujarnya.

Pegawai polis itu turut mengesahkan, Syed Saddiq tidak pernah memberitahu bahawa wang yang hilang itu bersumber daripada politik kerana beliau hanya menyatakan ia wang simpanannya dan kedua-dua ibu bapa.

Ujarnya, polis menjalankan siasatan hasil laporan polis yang dibuat oleh Ahli Parlimen Muar itu dan bapanya, Syed Abdul Rahman Abdullah Alsagoff pada 29 Mac 2020 berhubung kehilangan daripada peti besi di rumah di Kampung Tunku, Petaling Jaya.

Dalam laporannya, Syed Saddiq menyatakan, peti besi itu yang menggunakan kombinasi nombor keselamatan rahsia dan dibuka kali terakhir di antara 13 dan 14 Mac 2020.

Dalam pernyataan saksinya, Ahmad Marzuqi selanjutnya menyatakan, polis kemudian menangkap seorang wanita warganegara Indonesia, Novi Dwi Anggraeni pada 30 April 2020 bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Ujarnya, pembantu rumah tersebut bagaimanapun dibebaskan setelah tiada keterangan dan bukti bagi mengaitkannya ekoran tiada pencerobohan berlaku di bilik dalam rumah itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung lagi 4 Julai ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI