fbpx

Pertukaran cuti hujung minggu Johor bukan dalam waktu terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Jafni.

ISKANDAR PUTERI – Keputusan untuk menukar cuti hujung minggu negeri ini daripada Jumaat dan Sabtu kepada Sabtu dan Ahad tidak akan dilakukan dalam waktu terdekat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, hal itu kerana perkara tersebut memerlukan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Namun menurut beliau, kerajaan negeri sedang mendapatkan maklum balas semua pihak berkepentingan berhubung isu tersebut.

“Di peringkat kerajaan negeri, perkara ini masih tidak ada sebarang keputusan lagi, cuma kita sedang kaji dan mendengar permintaan dalam kalangan rakyat dan pihak berkepentingan.

“Tetapi buat masa ini belum ada apa-apa keputusan lagi kerana hakikatnya kajian menyeluruh perlu dibuat, perkara ini juga berkaitan dengan titah Tuanku, jadi sudah tentu perkenan Tuanku lebih utama.

“(Tetapi) bukan akan dilakukan dalam waktu terdekat lah,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung dakwaan kemungkinan Johor sedang mengkaji pertukaran pelaksanaan cuti hujung minggu yang ditetapkan ketika ini.

Pada 14 Jun lalu, Onn Hafiz memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengkaji semula penetapan hari cuti hujung minggu negeri berkenaan yang ketika ini ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.

Beliau dilaporkan berkata, kajian itu akan dibuat ekoran terdapat keluhan daripada masyarakat mengenai perbezaan hari cuti sektor swasta dan kerajaan selain bagi memastikan ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama.

Pada 23 November 2013, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pertukaran cuti minggu negeri Johor kepada hari Jumaat dan Sabtu berkuatkuasa 1 Januari 2014.

Keputusan itu dibuat selaras dengan negeri Johor yang paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi dan dibuat bagi memudahkan kaum lelaki yang beragama Islam menunaikan solat Jumaat dalam keadaan sempurna dan tidak tergesa-gesa.

Johor sebelum itu juga pernah menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu sebelum tahun 1994.

Malah negeri lain seperti Kedah, Kelantan dan Terenganu turut mengamalkan cuti Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu di negeri tersebut.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI