LANGKAWI – Ramai dalam kalangan wanita yang mengalami masalah vaginismus takut untuk melakukan hubungan kelamin dengan pasangan masing-masing kerana dimomokkan dengan kesakitan sejak usia muda.
Malah, ada wanita yang mengalami masalah itu disebabkan trauma dan benci dengan lelaki kerana pernah dicabul.
Vaginismus merupakan masalah untuk melakukan hubungan kelamin apabila berlaku ketegangan dan kekejangan pada otot bahagian faraj.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Siti Aishah Yunos berkata, kebanyakan pesakit yang menderita penyakit itu pada peringkat awal langsung tidak dapat melakukan hubungan kelamin selepas berkahwin menyebabkan mereka tidak dikurniakan zuriat.
“Terdapat kes pesakit mendengar cerita ‘seram’ daripada rakan-rakan dan ahli keluarga termasuk ibu yang menakut-nakutkan mereka tentang hubungan seks bagi mengelak zina.
“Jadi, wanita terbabit menganggap hubungan kelamin adalah menyakitkan,” katanya ketika ditemui di kliniknya di sini baru-baru ini.
Menurut Dr. Siti Aishah, terdapat pasangan yang tidak mempunyai anak walaupun sudah mendirikan rumah tangga selama 11 tahun disebabkan menderita masalah tersebut.
Jelasnya, kebanyakan pasangan merahsiakan tentang masalah tersebut kerana ‘aib’ dalam rumah tangga selain ada yang tidak menyedari mereka mengalami vaginismus disebabkan kekurangan ilmu.
Dr. Siti Aishah memberitahu, vaginismus yang berlaku terhadap wanita selepas bersalin atau menjalani pembedahan kanser rahim pula dikategorikan sebagai tahap sekunder (secondary).
“Mereka sebelum ini tidak mempunyai masalah tetapi vaginismus berlaku selepas melalui proses bersalin. Mereka berasa takut untuk ‘bersama’ suami kerana risau mengalami kesakitan.
“Namun begitu, setakat ini, saya belum menerima pesakit tahap secondary,” katanya.
Beliau menasihatkan wanita yang mengalami masalah tersebut agar mendapatkan rawatan awal. Jika tidak diatasi, ia boleh membawa kepada depresi dan anxiety (keresahan). Paling penting adalah sokongan pasangan masing-masing.















