fbpx
GAMBAR HIASAN

Duit hantaran boleh beli rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pasangan yang sebelum ini melangsungkan perkahwinan ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini boleh menarik nafas lega apabila mereka kini mampu membeli rumah dan kenderaan menggunakan lebihan wang hantaran yang ada.

Malah, keputuan untuk menjadi ‘Raja Sehari’ ketika negara berada dalam fasa PKP susulan pandemik Covid-19 dianggap sebagai menguntungkan kerana tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk sesebuah majlis perkahwinan.

Menurut pasangan terbabit, lebihan wang hantaran yang ada kini dapat digunakan untuk ke­perluan yang lebih penting, termasuk sebagai wang pendahuluan untuk membeli rumah dan kenderaan selain untuk membeli keperluan harian yang lain.

Di George Town, Pulau Pinang, pemandu lori, Tengku Ammar Tengku Anwar, 25, berkata, dia dan pasangannya, Zarina Roslin, 25, memutuskan untuk melangsungkan pernikahan pada 18 Februari lalu ketika negara masih bertarung dengan peningkatan harian Covid-19.

Menurut Tengku Ammar, dia tidak perlu pening kepala memikirkan urusan majlis kenduri, sebaliknya hanya menyediakan wang hantaran sebanyak RM2,000 beserta wang RM700 sebagai mas kahwin.

“Memang menguntungkan apabila memilih melangsungkan perkahwinan pada waktu itu. Pasangan seperti kami tidak perlu mengeluarkan bajet yang banyak dan jumlah itu juga mendapat persetujuan daripada ahli keluar­ga kedua-dua pihak.

“Akad nikah berlangsung di pejabat agama dan majlis ken­duri pula hanya diadakan secara sederhana dengan jemputan kurang daripada 300 orang.

“Kami tidak perlu keluar wang yang banyak, malah lebih bahagia apabila tidak terikat dengan sebarang hutang termasuk dengan pihak bank,” katanya.

Mohamad Nor Nizam Mohd. Zaini, 30, pula memberitahu, pernikahan bersama pasangan Nur Salihah Rahmat, 30 pada 5 Mac tahun lalu sememangnya menguntungkan dan tidak memerlukan mereka mengeluarkan kos yang banyak.

“Saya tidak menyangka tarikh perkahwinan kami berlaku ketika PKP, tetapi sekurang-kurangnya wang simpanan untuk dibelanjakan dalam urusan resepsi dapat digunakan untuk menampung kos sara hidup harian kami suami isteri,” jelasnya yang dijangka bakal menimang cahaya mata sulung Ogos nanti.

Di Dungun, Terengganu, seorang penjawat awam, Nik Nur Aimuni Najiha Nik Adnan, 29, berkata, dia dan suaminya, Wan Mohamad Hakim Wan Hasni, 30, yang melangsungkan pernikahan pada Mei tahun lalu hanya mengadakan majlis akad nikah di pejabat agama berikutan majlis perkahwinan tidak dibenarkan diadakan ketika itu.

“Pada awalnya, kami memang merancang untuk buat majlis kahwin dengan menjemput lebih 1,000 kenalan dan saudara.

“Bagaimanapun, disebabkan peningkatan kes Covid-19, kami terpaksa membatalkan hasrat tersebut dan hanya mengadakan majlis akad nikah dengan keha­diran 10 ahli keluarga,” katanya.

Katanya, dia dan suami hanya mengeluarkan duit untuk kos sewa baju sebanyak RM600 selain RM1,000 bagi jurugambar.

“Apa yang melegakan, duit itu dapat kami guna untuk kehidupan selepas kahwin dan sebagai tambahan simpanan untuk beli rumah,” katanya yang kini dikurniakan seorang cahaya mata.

Di Sungai Petani, Kedah, pasangan Siti Nazratul Munirah Othman, 29, dan Muhammad Ashraf Che Man, 28 mengakui majlis perkahwinan yang diadakan semasa PKP dianggap sebagai satu rahmat oleh mereka.

“Kami gembira kerana sehingga kini tidak mempunyai masalah dari segi kewangan.

“Tambahan pula selepas dikurniakan cahaya mata pertama 20 hari lalu, saya dapat menggunakan wang hantaran yang disimpan untuk membeli segala keperluan bayi tanpa perlu ‘mengusik’ gaji kami. Ini adalah himah untuk kami,” katanya.

Kata Siti Nazratul Munirah, dia dan suami bercadang untuk menganjurkan majlis kesyukuran mendapat anak pertama mereka menggunakan wang hantaran yang masih disimpan dalam masa terdekat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN