fbpx

Afjets minta Search segera bayar hutang pampasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Search ketika dianggotai (dari kiri) Kid, Allahyarham Yazit, Amy, Nasir dan Noordin sepatutnya menjayakan penganjuran Konsert Search 35 Tahun pada 2016.

PETALING JAYA – Syarikat Afjets Sdn. Bhd. (Afjets) meminta kumpulan rock terkenal tanah air, Search melangsaikan segera tuntutan ganti rugi khas berjumlah hampir RM500,000 susulan kes mahkamah kerana melanggar perjanjian berhubung pembatalan konsert mereka pada 2017.

Afjets sepatutnya menaja dan menganjurkan Konsert Search 35 Tahun yang dirancang diadakan pada 2016, namun dibatalkan oleh anggota kumpulan rock itu.

Susulan pembatalan konsert tersebut, Afjets kemudian mengambil tindakan mahkamah terhadap Search dan pada 18 Ogos 2017, tiga anggota kumpulan itu iaitu Nasir Daud, Noordin Mohd. Taib (Din) dan Hamzah Mohd. Taib (kid) diarahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membayar ganti rugi khas.

Afjets juga diputuskan berhak menerima ganti rugi am yang belum ditafsirkan, dijangka tidak kurang daripada RM1 juta.

Bagaimanapun atas nasihat peguam, Afjets tidak mengemukakan tindakan terhadap penyanyi asal Search iaitu Suhaimi Abd. Rahman atau Amy pada masa itu kerana beliau telah muflis.

Afjets juga difahamkan ketika ini, pemain bass kumpulan itu iaitu Nasir turut muflis.

Syarikat berkenaan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai penganjuran dua konsert berasingan iaitu Search Endemik dan Rockin’ On The Rooftop baru-baru ini yang dijayakan oleh anggota dan bekas anggota kumpulan itu yang kini bergerak secara berasingan. ‘

Malah pihak Afjets turut mengambil perhatian tentang pengumuman pengurusan Search yang dianggotai Din dan Kid mengenai siri konsert jelajah Malaysia, Singapura dan Indonesia yang dijadual berlangsung antara Ogos depan hingga Mac 2023.

Pihaknya terkejut dan memandang serius pengumuman tersebut kerana sehingga kini, selepas hampir lima tahun, mereka masih lagi menunggu maklum balas daripada Search mengenai keputusan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Justeru, Afjets akan mengambil langkah wajar dalam masa terdekat untuk melaksanakan keputusan mahkamah bagi mendapatkan pampasan sebanyak hampir setengah juta dan ganti rugi am yang belum ditaksir.

Hal ini, Afjets sudah memberi tempoh yang lama untuk Search mengatur semula kedudukan kewangan mereka dan beranggapan penganjuran dua konsert berasingan baru-baru ini serta pengumuman jelajah membayangkan kumpulan itu sudah kembali ke landasan sekali gus boleh melunaskan segala komitmen kewangan yang tertunggak.

Afjets juga sudah mengarahkan peguamnya untuk melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2017 termasuk berhubung dengan pihak pengurusan Search sekarang. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI