PETALING JAYA – Demi menginginkan sebuah majlis perkahwinan yang mewah, seorang kakitangan awam terpaksa menanggung hutang bank walaupun telah 12 tahun berumah tangga.
Lebih menyedihkan apabila keluarga berkenaan turut berdepan masalah untuk melangsaikan hutang pinjaman rumah dan kereta.
Lelaki dikenali sebagai Syukri, 36, berkata, kisah sedih dalam rumah tangganya bermula apabila dia membuat pinjaman daripada sebuah bank sebanyak RM50,000 semata-mata untuk persiapan majlis perkahwinannya.
Katanya, pembiayaan di sebuah bank tempatan itu telah diluluskan serta-merta memandangkan dia adalah penjawat awam dengan tempoh pembiayaan selama 14 tahun.
“Selepas duit pinjaman masuk, saya dan isteri mula membeli-belah untuk persiapan perkahwinan kami. Kami sanggup datang ke Kuala Lumpur ketika itu untuk membeli kelengkapan perkahwinan yang agak mewah.
“Semua barang hantaran adalah berjenama mahal bermula dengan set dompet dan beg tangan, jam, minyak wangi, telefon bimbit dan beberapa perhiasan wanita,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Syukri berkata, ketika itu dia dan isterinya tidak berfikir tentang kehidupan selepas kahwin dan hampir kesemua duit pinjaman dilaburkan untuk sebuah majlis yang diimpikan mereka.
“Kami menyewa sebuah dewan lengkap dengan pakej katering dan pelamin.
“Puluhan ribu ringgit telah dibelanjakan untuk itu, sedangkan rumah keluarga kami cukup luas untuk majlis perkahwinan dan di kampung juga kami boleh bergotong-royong untuk memasak.
“Namun, demi sebuah kemegahan, banyak wang telah bazirkan wang,” ujarnya.
Menurut Syukri, penderitaannya mula dirasai selepas kelahiran cahaya mata pertama iaitu setelah dua tahun berkahwin.
“Kami menyesal kerana telah banyak menghabiskan wang demi perkahwinan yang agak mewah.
“Kini, anak sulung kami telah mencecah usia 11 tahun dan kami masih belum menyelesaikan hutang perkahwinan dan beberapa hutang lain,” jelasnya.














