fbpx
FUTURE FOREST yang dibina di Mexico City ini kelihatan indah dan berwarna-warni.

Gubah tiga tan plastik terbuang jadi taman mengagumkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUKAR rasanya untuk membayangkan dunia ini tanpa plastik biarpun kempen mengurangkan plastik semakin giat dilaksanakan di peringkat global demi kebaikan alam sekitar.

Plastik yang dijadikan pelbagai produk seperti botol, pinggan, bahan pembungkusan, selipar dan lain-lain lagi telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia dan kita semua menggunakannya setiap masa.

Pun begitu, perlu disedari penggunaan plastik yang berlebihan boleh mengundang masalah amat besar kerana material itu tidak boleh terbiodegrasi atau terurai dengan mudah serta sarat dengan bahan kimia.

Bahan kimia atau toksik plastik perlahan-lahan meresap ke dalam tanah dan air sekali gus mencemarkan Bumi.

Bagi meningkatkan kesedaran bahaya plastik ke atas alam, seorang lelaki Denmark, Thomas Dambo, 43, telah menggunakan sisa plastik-plastik terbuang untuk mencipta karya seni yang mengagumkan.

Dia telah mengumpul plastik-plastik terbuang dari tempat pembuangan sampah untuk mencipta taman botani berwarna-warni di Mexico City, Mexico untuk dikunjungi orang ramai.

ANTARA bahagian di taman itu yang digubah penuh kreativiti.

Kewujudan taman itu pantas meraih perhatian masyarakat dunia. Rata-rata kagum bagaimana daripada tiga tan sampah plastik boleh diubah menjadi taman botani bak rimba yang dipenuhi pelbagai pokok, bunga dan haiwan.
Thomas telah membangunkan projek hutan masa depan tersebut yang dinamakan ‘Future Forest’.

“Saya berharap dengan terciptanya hutan ini akan menjadi salah satu cara untuk menarik orang ramai menjalinkan hubungan baik dengan alam sekitar.

“Saya percaya, salah satu punca utama planet kita dilitupi sisa buangan adalah kerana orang ramai tidak melihat ke mana sampah itu pergi dan tidak mengenali orang yang mengurusnya.

“Kita harus meraikan orang-orang yang mengendalikan sampah ini dan tunjukkan betapa hebatnya mereka. Kita sebenarnya boleh mencipta banyak benda menarik daripada sisa-sisa sampah,” katanya.

Dambo berharap usahanya itu akan memberi inspirasi kepada generasi muda masa kini untuk menguruskan sampah.

Dambo mahu mereka tidak melihat sisa sampah sebagai sesuatu yang hodoh dan berbau, sebaliknya sesuatu yang indah dan berharga.

Dambo (kiri) telah mengumpulkan plastik-plastik terbuang di Mexico City untuk dikitar semula menjadi taman Future Forest.

Bagi taman Future Forest yang dibina di Mexico City itu, Dambo telah dibantu oleh lebih 700 orang terdiri daripada pelajar, penghuni rumah anak yatim, warga emas dan sukarelawan.

“Kami telah menukar tiga tan sisa plastik menjadi hutan plastik berwarna-warni seluas 500 meter persegi.

“Hutan plastik ini dipenuhi dengan arca-arca bunga, pokok dan haiwan yang dihasilkan daripada sisa plastik terbuang,” jelasnya.

Tambahnya, mereka mengambil masa lebih lapan minggu untuk mengutip sampah dan membina hutan tersebut.

Dambo berkata, projek itu adalah sesuatu yang ekstrem kerana mereka telah menghabiskan masa mengais tanah selain mencari plastik di tapak pelupusan sampah.

“Pada sebelah pagi, kami membina arca di bengkel dan sebelah petang kami menunjukkan apa yang kami lakukan kepada Datuk Bandar Mexico City.

“Selain itu kami turut menggubah plastik menjadi bunga gergasi. Sebenarnya, plastik itu asalnya bekas plastik orang sakit membuang air besar di hospital.

“Apabila orang ramai datang melawat projek ini mereka berkata ia sangat cantik tetapi mereka tidak mengetahui daripada apa ia dihasilkan,” jelasnya.

KREATIVITI ditonjolkan dengan membentuk kolam air daripada sisa plastik selain menghasilkan replika haiwan seperti kura-kura dan burung merak.

Kongsi Dambo, perkara yang paling menggembirakannya sewaktu melaksanakan projek itu adalah apabila berpeluang membawa 20 kanak-kanak ke tapak pelupusan sampah di pusat bandar Mexico City dan membimbing mereka menghasilkan arca seni di situ.

“Sebelum ini mereka tidak mempunyai peluang untuk pergi ke tempat seperti itu, tetapi kini mereka adalah sebahagian daripada pengkarya seni yang menghasilkan arca yang dilihat oleh ribuan orang dan mereka sangat bangga dan gembira.

“Saya fikir ia pasti membantu mendidik mereka bagaimana untuk menguruskan sisa plastik,” terangnya.

Sementara itu, sejak 10 tahun lalu, Dambo telah memberikan tumpuan dalam menghasilkan arca berskala besar yang dihasilkan daripada sisa buangan seperti plastik dan kayu.

Menurutnya, sewaktu dia membesar ibu bapanya telah mengajar tentang betapa pentingnya kitar semula.

“Perkara ini telah melekat dalam diri saya. Prinsip saya adalah dunia tidak memerlukan tong sampah.

“Kita boleh membina masa depan yang cerah untuk dunia jika kita mahir dalam kitar semula,” tuturnya.

Maka, tambahnya, dia telah membina projek yang besar seperti hutan masa depan dan banyak lagi untuk memberi inspirasi, mengajar dan menunjukkan nilai tersembunyi pada sampah.

Selain membangunkan projek hutan masa depan itu, dia juga menghasilkan karya lain termasuk membangunkan arca angsa daripada 300 baldi plastik yang dikitar semula.

Menurutnya, arca itu dibangunkan untuk Suruhanjaya Majlis Nordic.

“Saya mengambil masa empat bulan mengumpul baldi plastik yang mencukupi daripada kafeteria untuk menghasilkan arca besar berukuran empat meter itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN