SHAH ALAM – Orang ramai perlu bersedia dengan sebarang keputusan mengenai kenaikan kadar tarif air yang baharu ekoran kekangan yang terpaksa ditanggung oleh operator di setiap negeri dalam memenuhi keperluan sebagai penyedia perkhidmatan pembekalan air.
Berdasarkan situasi semasa, kos operasi bagi menyediakan perkhidmatan pembekalan air telah meningkat ketara, sedangkan ada tarif air bagi sesetengah operator yang tidak pernah disemak sejak 25 tahun lalu.
Contohnya, tarif air di Pahang dan Perlis tidak pernah disemak dalam tempoh tersebut dan mempunyai tarif antara terendah bagi kategori domestik iaitu 79 sen bagi setiap meter padu.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam kenyataan kepada Kosmo! berkata, berdasarkan statistik pada 2020, purata tarif semasa yang dicajkan kepada pengguna domestik adalah 96 sen bagi setiap meter padu di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Katanya, purata jumlah kos pula adalah lebih tinggi iaitu RM1.68 bagi setiap meter padu.
“Kos operasi utama yang ditanggung adalah melibatkan kos kakitangan iaitu 31 peratus, kos tenaga (26 peratus), kos penyenggaraan (20 peratus) dan kos bahan kimia (5 peratus).
“Ini jelas menunjukkan tarif sedia ada tidak dapat menampung peningkatan kos dengan beberapa operator air berada dalam kedudukan kewangan defisit yang tidak dapat menampung perbelanjaan operasinya,” katanya baru-baru ini.
Menurut SPAN, masyarakat perlu mengetahui bahawa fungsi utama operator air adalah untuk membekalkan air kepada pengguna selama 24 jam sehari.
Ujarnya, bagi memastikan bekalan air yang berterusan, operator air telah merancang projek pembangunan infrastruktur seperti membina Loji Rawatan Air (LRA) baharu, menaik taraf LRA sedia ada, menggantikan paip uzur dan kerja-kerja penyelenggaraan peralatan.
Justeru, pelarasan tarif air ini amat penting kerana tanpa pendapatan yang mencukupi, perancangan itu tidak dapat dilakukan.
“Akibatnya, prestasi operator akan menurun dan menyebabkan penduduk turut terkesan disebabkan gangguan bekalan air ketika kemarau, tekanan air rendah dan kualiti air yang tidak memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Menyedari ramai terkesan akibat Covid-19, SPAN memaklumkan impak pelarasan tarif kepada pengguna adalah kecil.
Jelas SPAN, pengguna domestik khususnya tidak perlu bimbang kerana tarif akan disemak berdasarkan mekanisme yang telus dan seragam bagi memastikan caj yang dikenakan adalah adil dan tidak membebankan.
“Pelarasan tarif air di bawah mekanisme penetapan tarif (TSM) akan dilaksanakan secara berperingkat dan setiap kenaikan tidak melebihi 30 peratus bagi semua negeri. Berdasarkan konsep TSM juga, keuntungan operator dikawal selia oleh SPAN.
“Kita juga menggalakkan operator air untuk memberikan rebat secara bersasar kepada pengguna yang tidak berkemampuan agar kenaikan tarif tidak memberikan impak yang besar kepada golongan terkesan,” katanya.
Mengulas lanjut, SPAN menjelaskan manfaat pelaksanaan pelarasan tarif ini bukan bersifat jangka pendek, tetapi lebih kepada manfaat jangka panjang dalam memastikan kelestarian perkhidmatan bekalan air.
Kosmo! semalam melaporkan, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kini dalam peringkat akhir perbincangan bagi semakan semula tarif air sebelum dibawa ke peringkat Parlimen.
Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata, pihaknya sedang dalam rundingan dengan SPAN dan pemegang taruh bagi mencari situsi menang-menang kepada semua pihak.














