fbpx

Treler bawa balak terbalik, trafik sesak lebih lima jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kayu balak bergelimpangan selepas lori balak terbalik di Kilometer 65, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Musang semalam. /FOTO IHSAN POLIS

GUA MUSANG – Kedua-dua arah Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini sesak teruk lebih lima jam selepas treler membawa muatan kayu balak terbalik dalam kemalangan di Kilometer 65, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, laluan di kedua-dua arah ditutup akibat treler tersebut melintang di tengah jalan selain kayu balak jatuh bergelimpangan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kemalangan itu melibatkan empat buah kenderaan iaitu treler, kereta jenis Proton Wira selain dua jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan Proton Exora.

Katanya, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta Proton Wira dari arah Kuala Krai menghala Gua Musang terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh treler berkenaan yang berada di laluan bertentangan.

“Insiden itu menyebabkan dua buah MPV tidak sempat mengelak lalu merempuh kayu balak yang jatuh di tengah jalan.

“Susulan kejadian itu, berlaku kesesakan teruk di kedua-dua arah sehingga lebih lima jam apabila lebih 10 batang kayu balak menghalang laluan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Choon Foo berkata, pihaknya terpaksa meminta bantuan kren untuk mengangkat kayu balak dan kerja memunggah selesai kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Tambah beliau, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kemalangan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI