fbpx

Pengusaha kek, biskut terpaksa naikkan harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. AL-FAIZAL akan menaikkan harga donut di gerainya di Setia Alam.

PETALING JAYA – Kenaikan harga­ telur sehingga 20 peratus sejak seminggu lalu menyebabkan pe­ngusaha terpaksa menaikkan harga kek dan biskut antara RM1 hingga RM4 bagi mengelak daripada terus menanggung rugi.

Di Sungai Petani, pengusaha, Sharifah Kasim, 45, berkata, kenaikan harga telur yang merupakan bahan utama membuat kek dan biskut menyebabkan dia tidak mempunyai pilihan kecuali menaikkan harga jualannya.

“Telur ayam gred A dibeli pada harga RM15 sepapan berbanding RM13 sebelum ini. Kenaikan ini mengganggu operasi pengelua­ran kek dan biskut.

“Saya tidak boleh menghentikan operasi membuat biskut ke­rana inilah punca pendapatan keluarga kami selain gaji suami sebagai pemandu van kilang,” katanya semalam.

Selain telur, semua barangan bakeri termasuk bekas plastik naik RM2 dan RM4.

“Harga tepung roti, tepung gandum, margerin dan kekacang turut naik mendadak. Walaupun untung kecil, saya perlu meneruskan operasi kerana mene­rima tempahan awal,” katanya.

SHARIFAH menyusun bahulu di rak jualan di premis perniagaannya di Taman Ria Jaya, Sungai Petani.

Sharifah memberitahu, dia menaikkan harga jualan kek hari jadi RM3 hingga RM5 bergantung kepada saiz, manakala biskut samperit dan tat nanas pula naik RM2 dan RM4 sebalang.

“Walaupun harga naik, kualiti dan kuantiti kesemua biskut dan kek yang dijual dikekalkan,” katanya yang mengakui perniagaan membuat kuih, kek dan biskut raya tahun ini tidak menjanjikan pulangan lumayan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Di Shah Alam, rata-rata peniaga kuih mengakui terpaksa menaikkan harga jualan antara 30 sen hingga 50 sen berikutan kenaikan kos ketika ini.

Pengusaha donut, Mohd. Al-Faizal Hashim, 36, memberitahu, harga jualan kuih tersebut dinaikkan 30 sen sebiji sejak awal minggu lalu kerana peningkatan harga telur ayam.

“Saya tiada pilihan kerana kos membeli telur dan tepung semakin meningkat.

“Jika tiada kenaikan, peniaga kecil seperti kami akan menanggung kerugian teruk,” katanya.

Sementara itu, Ruslina Mahusin, 58, yang menjual pelbagai kuih tradisional akan turut menaikkan harga sehingga 50 sen bagi setiap pek kuih yang dijual bermula minggu depan.

Katanya, sebagai contoh, satu pek kuih keria mengandu­ngi lima biji yang kini dijual pada harga RM3 akan dinaikkan kepada RM3.50.

“Saya sememangnya menggunakan puluhan telur untuk membuat kuih setiap hari sejak beberapa tahun lalu.

“Namun, bekalan telur kini agak terhad dan mahal sekali gus menyebabkan saya perlu menaik­kan harga sama seperti peniaga lain,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI