NAMA bekas pemain skuasy negara, Datuk Nicol Ann David cukup besar dalam persada sukan skuasy bukan sahaja di Malaysia malah di dunia.
Figura hebat itu juga pernah merekodkan pencapaian cukup membanggakan apabila bergelar pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun berturut-turut, yang disifatkan beliau sebagai pencapaian terbaiknya sepanjang bergelar seorang atlet.
Kini, biarpun sudah bersara daripada dunia sukan, wanita hebat itu masih mahu terus berbakti kepada anak-anak muda dalam mewujudkan pelapis pemain skuasy yang hebat menerusi penubuhan Nicol David Organisation (NDO).
Ia sebuah organisasi untuk memperkasa kanak-kanak golongan B40 dan M40 menerusi pendidikan dan sukan. Bagi mendapatkan penjelasan lanjut tentang organisasi itu, wartawan Kosmo! Ahad ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual Datuk Nicol Ann David baru-baru ini
KOSMO AHAD! : Baru-baru ini Datuk telah melancarkan Nicol David Organisation, tahniah diucapkan atas penubuhannya. Boleh jelaskan apakah matlamat atau objektif penubuhannya?
NICOL: Terima kasih, saya amat teruja apabila secara rasminya pertubuhan bukan kerajaan saya sendiri iaitu Nicol David Organisation atau NDO dilancarkan pada 2 Jun lalu.
Objektif penubuhan NDO adalah untuk memperkasa kanak-kanak lelaki dan juga perempuan menerusi pendidikan dan sukan.
Program Little Legends atau Legenda Kecil merupakan program bersubsidi buat keluarga B40 dan M40 di Kuala Lumpur yang mana kami akan menyediakan latihan skuasy dan juga kelas belajar bahasa Inggeris kepada kanak-kanak berusia tujuh hingga lapan tahun.
Ini sebenarnya sudah menjadi impian saya sejak sekian lama untuk memberikan sesuatu dan berbakti kepada negara dan saya teruja kerana berjaya melakukannya menerusi NDO.
Adakah Datuk melihat pendedahan terhadap sukan skuasy kepada kanak-kanak terutama mereka yang dalam keluarga B40 kurang diberikan. Mungkin ini juga kerana persepsi sesetengah orang yang menganggap sukan ini mahal. Apa pandangan Datuk?
Sukan perlu dialami dan dirasai sendiri oleh kanak-kanak dan ramai yang tidak mendapat peluang atau pendedahan kepada sukan berbeza termasuk skuasy.
Dengan kemudahan NDO yang terletak di Bukit Jalil Golf & Country Resort, tiga gelanggang skuasy dan tiga bilik darjah, kami pergi ke empat buah sekolah di sekitar Bukit Jalil dan Sri Petaling untuk menawarkan program kepada kanak-kanak yang tidak pernah melihat skuasy sebelum ini.
Ini adalah satu-satunya cara kami untuk membangunkan sukan ini peringkat dari akar umbi. Ia bermula dengan kanak-kanak tahun dua dan mereka akan dipantau sepanjang program yang mengambil masa lima tahun.
Perkembangan kanak-kanak memerlukan masa. Itulah sebabnya kami memberi tumpuan kepada kesan jangka panjang untuk kanak-kanak ini.
Datuk nampaknya betul-betul mencintai sukan skuasy. Setelah bermain sukan skuasy, kini beralih pula untuk mendidik kanak-kanak dengan sukan ini menerusi penubuhan organisasi seperti ini. Adakah ini menunjukkan sukan skuasy benar-benar sudah sebati dalam diri Datuk?
Ya benar dan sukan ini akan sentiasa dan selamanya menjadi sebahagian daripada diri saya.
Saya juga percaya bahawa jika lebih ramai individu atau kanak-kanak diberi peluang seperti saya ketika menetap dan membesar di Pulau Pinang satu ketika dahulu untuk bermain skuasy, Malaysia akan mempunyai begitu banyak potensi untuk berkembang dan maju dalam sukan ini.
Datuk bukan saja atlet yang hebat, tetapi juga seorang yang cemerlang dalam pelajaran. Bagaimana Datuk melakukannya pada masa itu?
Sebenarnya, skuasy telah mengajar saya begitu banyak nilai-nilai penting dalam kehidupan seperti disiplin, kerja keras, fokus, pengurusan masa dan juga keyakinan yang seterusnya menjadikan saya sebagai seorang pelajar yang lebih baik di sekolah.
Dengan itu, saya mampu untuk fokus dengan lebih baik, mendisiplinkan diri untuk belajar dengan lebih rajin serta merancang waktu antara pelajaran dan juga latihan.
Ini merupakan kunci kejayaan saya sebagai seorang pelajar. Menerusi NDO, kami tahu bahawa sukan boleh dan mampu memberikan pelajar-pelajar ini nilai-nilai murni sebegitu di dalam kehidupan mereka.

NICOL meninggalkan nama cukup gah dalam sukan skuasy dengan mencatatkan gelaran pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun berturut-turut.
Kalau boleh Datuk imbas semula bagaimana Datuk mula jatuh cinta kepada sukan ini dan apa kejayaan yang Datuk anggap paling besar dalam karier skuasy Datuk?
Pencapaian terbesar saya adalah menjadi pemain Nombor 1 dunia selama sembilan tahun berturut-turut.
Saya hanya melihat ini sebagai pencapaian terbesar saya selepas bersara kerana secara peribadinya, semua kemenangan besar itulah yang telah membawa saya ke tahap ini.
Dari dulu hingga sekarang, prestasi sukan skuasy di negara ini begitu cemerlang, terutamanya di Asia Tenggara. Pada pandangan Datuk, apa yang menyebabkan prestasi hebat negara kita dalam sukan skuasy?
Kami mendapat sokongan besar daripada pembiayaan kerajaan dan pasukan sokongan yang telah menjadi penentu kepada kebangkitan skuasy di Malaysia.
Pada masa sama, kami turur diberi peluang untuk berlatih dengan pakar di luar negara bagi mendapatkan pendedahan dan pengalaman.
Selain itu, kami juga mempunyai pasukan penaja yang baik dan dapat melihat potensi dalam menganjurkan pertandingan di Malaysia dan menaja pemain skuasy untuk bertanding, seterusnya menjadikan sukan ini diiktiraf di negara ini.
Datuk bukan sahaja digelar Ratu Skuasy negara bahkan pada tahun 2016, sebuah akhbar British menyenaraikan Datuk sebagai atlet terhebat dunia kerana berjaya mempertahankan rekod No.1 dunia selama 109 bulan, memenangi tiga pingat emas pada Sukan Dunia, dua emas pada temasya Komanwel dan menjuarai lapan gelaran juara Terbuka Dunia. Apa perasaan Datuk digelar sedemikian?
Untuk mendapatkan kemenangan-kemenangan tersebut, ia merupakan satu perjalanan yang panjang bukan sahaja buat saya, tetapi juga buat negara.
Kesemuanya menjadikan saya gembira kerana mampu mencapai dan menggapai semua impian saya dan lebih lagi.
Orang kata kalau sukan skuasy dipertandingkan dalam sukan Olimpik, mungkin hari ini Malaysia sudah memiliki pingat emas. Adakah
Datuk juga berasa terkilan kerana sehingga sekarang sukan skuasy masih belum disenaraikan dalam sukan Olimpik? Mungkin itu juga impian Datuk yang belum kesampaian?
Olimpik akan terus menjadi impian saya, namun ketika ini, tanggungjawab dan keutamaan saya adalah terhadap NDO.
Mungkin, satu hari nanti, apabila sukan skuasy berjaya disenaraikan dalam sukan Olimpik yang berprestij, saya yakin negara kita akan mempunyai lebih ramai barisan pemain skuasy yang sudah bersedia untuk sukan tersebut.

UJAR NICOL, sukan skuasy mengajarnya erti nilai-nilai penting dalam hidup seperti disiplin, kerja keras, pengurusan masa dan keyakinan diri.
Apa nasihat Datuk kepada mereka yang baru hendak bermain skuasy? Apa kriteria-kriteria yang perlu mereka miliki?
Buat mereka yang mahu dan berminat untuk mula bermain skuasy, saya cadangkan supaya anda bermula dengan bermain secara berseronok dengan rakan-rakan atau keluarga.
Daripada situ, lihat sama ada anda berminat untuk bertanding, memperbaiki mutu permainan atau mahu mendapatkan latihan.
Apa yang paling penting adalah anda berseronok ketika bermain skuasy.
Beri sesuatu kepada negara adalah amalan patut dipuji
skuasy, seronok, Nicol, David, NDO, Olimpik, dunia















