fbpx

Perang Ukraine kerana rebut wilayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PRESIDEN Russia Vladimir Putin bertemu barisan usahawan muda di Moscow kelmarin. – AFP

MOSCOW – Presiden Russia, Vladimir Putin dengan berani menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk ‘mengambil semula’ dan mengukuhkan Ukraine, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.

Pemimpin Kremlin itu akhir­nya mengakui pencerobohan ke atas Ukraine adalah bagi mengambil semula wilayah yang didakwa milik Russia.

Putin menyatakan demikian semasa menghadiri sidang bersama barisan usahawan muda menjelang Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg yang akan diadakan di ibu kota Russia, Moscow. Semasa pertemuan mereka, beliau menyamakan dirinya dengan pemerintah Russia abad ke-18, Tsar Peter the Great yang melancarkan perang ke atas Sweden.

“Peter the Great melancarkan Perang Utara selama 21 tahun. Beliau berperang dan menawan Sweden, namun tidak menjajah­nya. Beliau mengembalikannya.

“Nampaknya, kita juga terpaksa mengambil semula dan mengukuhkan wilayah jika meng­anggap ciri tersebut penting bagi meneruskan kewujudan kita (Russia),” kata Putin.

Sebelum ini, Putin dan pasukan propagandanya memberikan bermacam alasan termasuk ancaman daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan golongan neo-Nazi sebagai punca beliau menyerang jirannya, Ukraine.

Bagaimanapun, selepas lebih 100 hari pencerobohan berlaku, Putin secara terbuka mendakwa bahawa beliau mahu memulangkan ‘tanah’ milik Russia.

Peter the Great ialah peme­rintah Russia pada awal abad ke-18. Ramai berpendapat bahawa dasar perluasan wilayah dan reformasi ketenteraannya telah membantu Russia menjadi sebuah negara kuasa besar seperti sekarang.

Dalam satu kenyataan baharu yang mengejutkan, pemimpin Kremlin itu menyatakan simpati­nya berhubung perang itu tetapi masih menyalahkan rakyat Ukraine.

“Apa lagi yang boleh saya katakan, semua yang berlaku di Ukraine sekarang adalah mimpi ngeri. Kita bukan sahaja harus menyalahkan rakyat Ukraine tetapi semua orang awam dan sudah tentu Amerika Syarikat (AS).

“Apabila Peter the Great menetapkan ibu kota baharunya di St Petersburg, tiada satu pun negara-negara Eropah mengiktiraf wilayah itu  milik Russia. Semua orang mengiktirafnya sebagai hak Sweden,” katanya. 

Putin turut menyatakan bahawa syarikat-syarikat Russia tidak akan mengehadkan pengeluaran minyak mereka walaupun Barat telah mengurangkan pergantungan terhadap bekalan tenaga dari Moscow.

Beliau berkata, Barat tidak akan dapat berhenti sepenuhnya daripada menggunakan sumber tenaga Russia dalam masa beberapa tahun akan datang.

Jelasnya lagi, sekatan Barat menyebabkan kekurangan bekalan minyak ke pasaran global sementara harganya pula terus mening­kat. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI