fbpx

Peguam bela nafi misil BUK musnahkan MH17

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAKIM dan peguam memeriksa bangkai pesawat MH17 yang dibina semula di Pangkalan Tentera Gilze-Rijen, selatan Belanda pada 26 Mei 2021. – AFP

THE HAGUE, Belanda – Pasukan peguam Belanda mewakili suspek yang dituduh menembak jatuh penerbangan Malaysia Airlines MH17 menyatakan bahawa pendakwa raya gagal membuktikan sebuah peluru berpandu buatan Russia memusnahkan pesawat itu ketika menyampaikan hujah penutup kelmarin.

Pesawat penumpang itu ditembak jatuh semasa terbang dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, menyebabkan semua 298 penum­pang dan krunya terbunuh. Tragedi itu berlaku ketika tentera Kiev memerangi kumpulan pemisah pro-Russia di timur Ukraine.

Perbicaraan empat lelaki itu yang bermula pada Mac 2020, menjadi lebih signifikan selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine akhir Februari lalu yang menyaksikan sebilangan dakwaan jenayah perang muncul.

“Kesimpulannya, pihak pendakwa raya gagal membuktikan berdasarkan perbualan telefon, imej dan kenyataan saksi, bahawa peluru berpandu (BUK) yang menembak jatuh MH-17.

“Walaupun ada peluru berpandu dilancarkan ketika itu, tidak dapat dibuktikan secara konklusif bahawa inilah misil yang mengenai MH-17,”  kata Sabine ten Doesschate ketika mewakili suspek, Oleg Pulatov.

Pasukan pendakwa raya me­minta keempat-empat lelaki itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Disember tahun lalu kerana penglibatan mereka dalam tragedi itu. Mereka terdiri daripada tiga warganegara Russia iaitu Pulatov, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky di samping rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko.

Hanya Pulatov diwakili peguam, manakala tiada seorang pun tertuduh hadir di mahkamah.

Pasukan peguam Pulatov memberitahu panel hakim bahawa terdapat ‘lubang’ dalam kes pendakwa raya kerana mereka terlalu memberi tumpuan untuk membuktikan kumpulan pemisah pro-Moscow menggunakan peluru berpandu BUK yang dibekalkan Russia.

“Penceritaan adalah lebih penting kepada pendakwa raya berbanding mengemukakan bukti konklusif,” kata Ten Doesschate pada perbicaraan tersebut yang diadakan di sebuah mahkamah dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol di mana MH17 berlepas.

Menurutnya, panel hakim tidak mempunyai pilihan selain lain membebaskan anak guam mereka.

Mahkamah berkenaan menyatakan, keputusan kes tersebut paling awal hanya akan diketahui pada November ini.

Keempat-empat lelaki itu menafikan sebarang penglibatan dalam perbuatan menembak jatuh MH17. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI