fbpx

Enam beradik mangsa pemandu mabuk terima penakat RM2,816.14

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ngwe Hee (tiga dari kiri) menyerah replika cek kepada anak sulung mangsa, Sa’eed Ezuddin, 22, di kediaman mereka di Tambak Bugis, Melaka, hari ini.

MELAKA – Enam beradik yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata selepas kedua ibu bapa mereka maut dirempuh pemandu mabuk di Jasin pada Isnin lalu akan menerima pencen penakat berjumlah RM2,816.14 pada setiap bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Tenaga Kerja Negeri, Ngwe Hee Sem berkata, semakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mendapati kedua-dua mangsa iaitu Ezuddin Mohammad, 50, dan isterinya, Surayah Muhamat, 48, merupakan pencarum menerusi majikan sama di sebuah kilang di Ayer Keroh.

Katanya, waris mangsa iaitu anak-anaknya layak menerima pencen penakat berjumlah RM2,816.14 dan faedah pengurusan mayat berjumlah RM4,000 yang diberikan secara sekali bayar (one-off).

“Waris iaitu anak-anak mangsa layak menerima pencen penakat berjumlah RM1,519.38 daripada caruman arwah bapa dan RM1,298 bagi kelayakan si ibu.

“Hari ini kita juga sampaikan faedah pengurusan mayat berjumlah RM4,000 kepada anak-anak mangsa,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Tambak Bugis, di sini, hari ini.

Ujarnya, pihaknya berharap faedah disampaikan itu sedikit sebanyak dapat membantu keenam-enam beradik itu menguruskan kehidupan, termasuk empat daripadanya yang masih bersekolah.

“Kejadian yang menimpa keluarga ini amat memilukan dan pihak Perkeso bersama-sama kerajaan negeri berharap faedah ini dapat meringankan beban ditanggung mereka.

“Anak-anak mangsa berusia antara 22 hingga 10 tahun, empat daripadanya pula masih bersekolah dan memerlukan kestabilan sumber kewangan untuk memastikan pendidikan mereka tidak terjejas,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri yang juga orang kelainan upaya (OKU) maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah Perodua Myvi dipercayai dipandu lelaki mabuk di Jalan Serkam Pantai, Merlimau.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Ezuddin dan Surayah yang menunggang Yamaha Ego Solaris meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.

Ketika kejadian pasangan itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Melaka ke Merlimau sebelum tiba-tiba bertembung dengan Myvi tersebut yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI