Hubungan antara suami dan isteri perlu atas landasan cinta dan kasih. – GAMBAR HIASAN

Bolehkah bapa kahwin paksa anak perempuan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Apakah benar bahawa bapa atau datuk boleh menentukan pasangan anak perempuan. Saya terbaca bapa boleh menikahkan anak perempuannya dengan sesiapa sahaja yang dia pilih. Anak perempuan tidak boleh menolak kerana bapa wali mujbir dan ini pegangan dalam Mazhab Syafii. Betulkah begitu dan adilkah kalau begitu?

JAWAPAN: Dalam Mazhab Syafii, ada dua jenis pewalian dalam nikah. Pertama: al-ijbar (boleh memaksa) dan kedua: al-ikhtiyar (pilihan).

Dari bahagian wilayah (pewalian) al-ijbar (boleh memaksa) tersebut, di situ disebutkan wali mujbir (wali yang boleh menikahkan tanpa perlu reda dan izin perempuan). Wali mujbir di sini ialah bapa dan datuk kepada anak perempuan yang dara (bukan janda).

Dengan itu, wali mujbir bermaksud bapa atau datuk boleh menikahkan anak perempuan yang masih dara sekalipun tanpa izin dan redanya.

Alasan dalam Mazhab Syafii ialah bapa atau datuk lebih mengetahui kemaslahatan anak dara perempuan dan tidak akan memilih melainkan apa yang menjadi kebaikan untuknya. (sila lihat: al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafii, 4/66. Damsyik: Dar al-Qalam)

Dengan menghormati pandangan Mazhab Syafii ini, yang dibina atas ijtihad dalam menafsirkan nas-nas syarak dan realiti pada zaman tersebut, kita juga berhak untuk melihat dan menerima pakai ijtihad para fuqaha lain yang berbeza.

Apatah lagi realiti kita juga mungkin berbeza dengan zaman tersebut. Dr Yusuf al-Qaradawi ketika menolak pendapat yang memboleh bapa memaksa anak perempun berkahwin mengulas: “Siapa tahu, jika Al-Syafi’i r.a. hidup di zaman kita dan melihat kemajuan pengetahuan dan ilmu yang dicapai oleh anak gadis hari ini, sehingga mereka mampu menilai lelaki yang datang meminang mereka, atau jika mereka kahwin tanpa kerelaan akan menyebabkan kehidupan rumah tangga menjadi neraka, barang kali jika (al-Imam) al-Syafi’i melihat hal ini dia akan mengubah pendapatnya seperti mana dia telah mengubah banyak pendapatnya.” (al-Qaradawi, Al-Fatawa al-Mu’asarah, 337-338, Beirut: Dar Ulil al-Nuha).

Di samping itu, jika dilihat kepada hadis-hadis Nabi SAW, ia memberikan gambaran kepada kita bahawa baginda tidak membenarkan paksaan dalam perkahwinan.
Sekalipun pada zaman itu, paksaan ke atas wanita dalam pelbagai keadaan berlaku dalam masyarakat Arab, Parsi dan selain mereka, namun Islam datang memansuhkan paksaan ke atas wanita dalam menentukan pilihan hidup mereka.

Dalam hadis daripada Ibn ‘Abbas: “Seorang gadis dara datang kepada Nabi SAW memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka, maka Nabi SAW memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah , dinilai sahih oleh al-Albani).

Maka dalam Sahih al-Bukhari, ada Bab Iza zauwaja ibnatahu wahiya karihah fanikahu mardud (Bab: Apabila bapa mengahwinkan anak perempuannya, sedangkan anak perempuan itu tidak suka, maka nikah itu ditolak).

Dalam hadis yang lain riwayat Al-Bukhari dan Muslim, Nabi SAW bersabda:  “Jangan dikahwinkan janda sehingga mendapat arahannya (dia meminta) dan jangan dikahwinkan anak dara sehingga diminta keizinannya.”

Al-Bukhari dalam kitab sahihnya meletakkan hadis ini dengan tajuk: “Bab: Bapa dan selainnya tidak boleh menikahkan anak dara ataupun janda tanpa kerelaan”.
Itulah yang difahami oleh Al-Imam Al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis tersebut.

Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) ketika mengulas tentang paksaan anak perempuan berkahwin dengan kuasa wali mujbir, beliau menyebut: “Adapun menikahkan wanita dalam keadaan dia benci maka ini menyanggahi prinsip Islam dan akal yang waras. Allah tidak mengizinkan wali (bapa atau datuk) memaksa anak perempuan atas sesuatu pembelian atau sewaan tanpa keizinannya, tidak juga boleh memaksa makanan, minuman dan pakaian yang dia tidak mahu. Bagaimana pula boleh memaksanya atas persetubuhan dan pergaulan dengan orang yang dia benci?! Memaksa pergaulan dengan orang yang dia benci bergaul dengannya?!

Allah menjadikan hubungan antara suami isteri itu cinta dan kasih. Jika perkahwinan itu tidak menghasilkan kecuali kebencian dan berpaling daripada suaminya, mana di manakah cinta dan kasih dalam perkahwinan itu?” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 16/239. Riyadh: maktab al-‘Abikan).

Maka, saya lebih berpegang kepada pendapat fuqaha yang tidak membenarkan sesiapapun termasuk bapa dan datuk untuk memaksa anak perempuan sama ada dara ataupun janda berkahwin tanpa keredaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN