fbpx

Amalan sedekah ingatkan Shuib, tak pandang harta dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TULAR video memaparkan tindakan Shuib memberi sedekah kepada seorang lelaki yang berdepan masalah kereta miliknya rosak di tepi sebuah jalan baru-baru ini.

PETALING JAYA – Tular dirinya memberi sejumlah wang kepada seorang lelaki dalam kesusahan, pelakon dan usahawan, Shuib melihat amalan bersedekah sebagai jalan mengingatkan bahawa segala kemewahan di dunia ini hanyalah pinjaman daripada Ilahi.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhammad ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dikurniakan kesenangan duniawi sebenarnya juga merupakan ujian buat hamba-Nya sama seperti mereka yang dilanda kesusahan.

“Bersedekah ini salah satu perihal yang dituntut dalam agama Islam. Tapi, dalam bersedekah ini, Allah juga menguji keyakinan kita dalam mengamalkannya.

“Andai kata, kalaulah kita ini dikurniakan keyakinan yang bulat dengan hebatnya amalan bersedekah, insya-Allah itulah saat di mana kita akan rasa seronok bersedekah,” katanya.

Ujar pengasas jenama minuman Bubblebee itu lagi, Allahyarham Siti Sarah merupakan individu yang banyak mengajarnya tentang fadhilat bersedekah.

“Kita takkan rasa macam rugi. Kita takkan rasa takut-takut untuk bersedekah, insya-Allah sebab saya juga telah dikurniakan seorang isteri yang cukup hebat dan luar biasa (Allahyarham).

“Dia selalu bagi saya teladan kebaikan bersedekah. Dia juga yang meyakinkan saya dengan amalan bersedekah.

“Kena yakin 100 peratus bersedekah tidak akan merugikan kita. Juga akan mendidik kita menjadi seseorang yang tidak terlalu memandang harta dunia,” ujarnya.

Shuib, 38, turut mengingatkan bahawa segala bentuk kemewahan di dunia ini hanya bersifat sementara dan boleh hilang dalam sekelip mata.

“Apa yang ada di dunia ini semua adalah pinjaman. Kita saja rasa semua kita punya. Itu yang kadang-kadang kita rasa takut nak memberi, bersedekah dan sebagainya.

“Kalau Allah nak ambil, Dia boleh ambil macam itu sahaja. Insya-Allah, sesiapa sahaja yang amalkan sedekah setiap pagi, usai solat Subuh, Dia berjanji akan luaskan rezeki termasuk berikan kesenangan dunia akhirat kepada hamba-Nya,” ungkapnya lagi.

Terdahulu, Shuib mencuri perhatian khalayak dalam media sosial apabila tular sebuah video dirinya memberi sejumlah wang kepada seorang lelaki yang ditimpa ujian keretanya mati di tengah jalan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI