fbpx
LADANG solar yang luas ini dimanfaatkan dengan penanaman 25,000 pokok misai kucing.

Tanam 25,000 pokok misai kucing bawah panel solar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEAWAL pukul 8 pagi, lelaki berusia 42 tahun itu sudah berada di Ladang Solar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang terletak di Puchong, Selangor.

Tugas utama Ir. Dr. Mohammad Effendy Ya’acob di ladang solar berteknologi fotovoltaik (PV) itu bukanlah untuk memantau keadaan panel atau mengukur jumlah janaan tenaga dihasilkan.

Sebaliknya, dia yang merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Kejuruteraan Proses Dan Makanan, UPM dipertanggungjawabkan memastikan pokok-pokok tumbuh sempurna di situ.

Kawasan seluas dua hektar itu menempatkan pokok herba misai kucing yang ditanam secara terus di bawah panel solar PV berkapasiti 2,000 kilowatt-peak (kWp).

Herba misai kucing atau nama saintifiknya, Orthosiphon stamineus merupakan pokok herba renek tropika yang mempunyai banyak manfaat dalam bidang perubatan tradisional dan moden.

“Kawasan ini menempatkan kira-kira 25,000 pokok misai kucing. Ia merupakan satu-satunya kawasan solar PV di Malaysia yang mempunyai ladang agrivoltaik berskala besar. Agrivoltaik merujuk kepada sistem bertani di bawah panel solar.

“Pada Mei lalu, kami telah menerima sijil Malaysia Book of Records sebagai kawasan penanaman agrivoltaik terbesar di negara ini,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Inisiatif dikenali sebagai Agrivoltaic4LSS itu telah dimulakan pada Jun tahun lalu dengan kerjasama Pusat Hubungan dan Jaringan Industri bersama syarikat Solar System Power Sdn. Bhd. (SSPSB).

DR. MOHAMMAD EFFENDY menunjukkan tanaman misai kucing berwarna ungu yang turut ditanam di situ.

Menurut Mohammad Effendy, pihaknya mendapat geran sebanyak RM1.3 juta daripada kerajaan bagi membangunkan ladang penanaman di samping melakukan penyelidikan.

Jelasnya, penanaman misai kucing di ladang solar tersebut bermula pada awal Januari lalu dan kini pokok herba itu telah sedia dituai buat kali pertama.

“Hasil perjanjian kerjasama dengan SSPSB, kami dibenarkan menanam apa-apa sahaja pokok di sini. Namun, kami tidak boleh mengganggu struktur solar yang terdapat di sini.

“Alhamdulillah, menerusi penambahan sedikit infrastruktur seperti saliran air bersih di sini, kami berjaya mentransformasi kawasan solar PV kepada ladang agrivoltaik,” terangnya.

Menariknya, pokok misai kucing di ladang berkenaan ditanam di dalam polybag dengan menggunakan sistem fertigasi iaitu kaedah pemberian baja menerusi sistem pengairan titis.

Ujar Mohammad Effendy, pihaknya memilih menanam misai kucing disebabkan faktor ketinggian pokok, ketahanan haba selain kemampuan hidup di bawah kawasan terlindung cahaya matahari.

Dia menjelaskan, ketinggian pokok yang ditanam di sini tidak boleh melebihi ketinggian panel iaitu antara 1.2 hingga 1.8 meter bagi mengelak gangguan pada sistem pendawaian solar.

“Hasil penyelidikan yang dijalankan di UPM, kami merasakan misai kucing adalah tumbuhan terbaik untuk ditanam di sini kerana ketinggiannya sekitar 0.9 meter saja.

“Lagi satu, ia mampu hidup di bawah kawasan terlindung cahaya matahari. Macam cili, ia tidak sesuai ditanam di sini kerana memerlukan cahaya matahari secara terus,” terangnya lagi.

DR. MOHD. ROSLAN (kiri) menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records atas pencapaian UPM memiliki kawasan penanaman agrovoltaik terbesar di negara ini.

Dia menambah, pokok misai kucing yang diletakkan di bawah panel solar akan mencapai tempoh matang lebih cepat berbanding penanaman kondisi normal iaitu kurang daripada tiga bulan.

Terangnya, kajian fisiologi peringkat awal mendapati, saiz pertumbuhan herba misai kucing di bawah panel solar terutama di bahagian daun, pucuk dan misai juga adalah tiga kali ganda lebih besar.

“Hasil pemerhatian fizikal mendapati, tumbuhan ini tumbuh sihat dan aspek-aspek morfologi dipertingkatkan setanding keadaan biasa. Akar dan cabang tumbuhannya juga segar.

“Sampel misai kucing yang ditanam di bawah panel solar ini juga selamat dan bebas daripada sebarang radiasi. Ujian dijalankan berdasarkan kepada syarat-syarat dari Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan,” katanya.

Terang Mohammad Effendy, ladang tanaman di bawah panel solar secara tidak langsung memberi manfaat kepada pemain industri PV menerusi peningkatan janaan kuasa.

Ceritanya, hanya 20 peratus cahaya matahari digunakan untuk menjana tenaga pada panel solar, manakala selebihnya dianggap sebagai energy loss dalam bentuk haba.

“Tenaga panas tidak digunakan ini akan disejukkan oleh pohon yang terdapat di bawah panel. Hasil kajian kami, proses penyejukan semula jadi ini mampu meningkatkan janaan kuasa panel solar sebanyak tiga peratus.

“Pemain industri PV juga boleh menjimatkan kos dari segi penyelenggaraan kawasan solar seperti pemotongan rumput. Ia secara tidak langsung membolehkan pemain industri memaksimumkan pendapatan,” katanya.

Untuk makluman, pihak UPM juga sedang giat melakukan kajian penanaman pokok renek lain di kawasan solar berkenaan seperti bayam Brazil, kunyit hitam dan serai.

DR. MOHAMMAD EFFENDY memantau tanaman misai kucing di Ladang Solar UPM di Puchong baru-baru ini.

Malah, pihaknya telah berjaya membuktikan kawasan solar PV sesuai untuk peternakan ayam sekali gus menjadi penyelesaian terbaik kepada masalah kekurangan sumber protein berkenaan dalam pasaran.

Mohammad Effendy berpendapat, sudah tiba masanya kerajaan menyegerakan polisi untuk mewajibkan setiap pemain industri PV di negara ini memaksimumkan penggunaan tanah ladang solar mereka.

Dia berkata, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan pengeluaran sumber makanan negara bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import.

“Di negara ini, banyak ladang-ladang solar berskala besar dibuka. Tetapi ruang di bawah panel dibiarkan begitu saja. Sudah tiba masanya, kerajaan mewajibkan pemain industri mengusahakan tanaman.

“Misalnya di Jerman, pihak kerajaan hanya membenarkan panel-panel solar dibina di kawasan pertanian komersial. Ini membantu memaksimumkan penggunaan tanah di satu-satu kawasan,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Datuk Dr. Mohd Roslan Sulaiman mengucapkan syabas kepada Mohammad Effendy selaku Pengarah Projek kerana memberikan komitmen yang amat baik dalam merealisasikan projek itu.

Katanya, penyelidikan itu memfokuskan kepada mengoptimumkan penggunaan ruang dan membantu menyejuk panel bagi meningkatkan keberkesanan janaan tenaga ke grid Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Projek ini bakal mempamerkan integrasi pertanian strategik dalam projek solar PV berskala besar.

“Ia selari dengan hala tuju kampus Hijau UPM dan memperkukuhkan ranking UI GreenMetric dalam kalangan universiti seluruh dunia.

“Saya juga menyarankan kepada penyelidik supaya tidak hanya memberi tumpuan pada tanaman herba misai kucing, malah menumpukan tanaman herba lain pada masa akan datang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN