fbpx

Nelayan dikhuatiri hilang di perairan Kuala Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan operasi pencarian nelayan yang dipercayai terjatuh ke dalam laut di perairan Kuala Perlis pada semalam.

KUALA PERLIS – Seorang nelayan dikhuatiri hilang selepas bot dinaikinya dipukul ombak kuat ketika dalam perjalanan pulang ke pangkalan di kedudukan 5.7 batu nautika barat daya muara Kuala Perlis pada semalam.

Mangsa, Bukhari Yusof, 45, dipercayai terjatuh dari bot dan disedari hilang kira-kira pukul 1 pagi.

Kali terakhir mangsa dilihat sedang tidur di atas bumbung bot semasa keluar menuju ke laut.

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Hashim Mat Zain berkata, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada hari kedua diteruskan bagi mencari kru bot nelayan tempatan tersebut.

Katanya, sebaik menerima maklumat dan arahan koordinasi daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi, operasi telah diaktifkan dengan sebuah bot Perkasa 1240 diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Menurut tekong bot, mangsa disedari hilang dan disyaki terjatuh ke dalam laut setelah bot dipukul ombak kuat semasa dalam perjalanan balik ke pangkalan nelayan.

“Usaha mengesan mangsa turut disertai agensi sahabat daripada Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Unit Dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa bot nelayan tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, keluasan pencarian meliputi 40.14 batu nautika persegi dan pangkalan hadapan carilamat (PHC) turut didirikan di Pangkalan Nelayan Sungai Baru di sini bagi menyelaras operasi pencarian mangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI