SUASANA sebuah premis bakeri di Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya pada pagi itu agak lengang dan tenang. Keadaan tersebut memudahkan Sita Lakshmi, 47, menyiapkan tempahan-tempahan kek cawan yang diterimanya.
Usai membuat bancuhan dan meletakkan pewarna hijau di dalam adunan krim di dalam mangkuk di hadapannya, tangan anak kelahiran Pulau Pinang itu dengan teliti mula memicit krim tersebut di atas kek cawan berperisa pandan gula melaka dan terhasillah corak bunga kecil yang cukup kemas.
“Ini adalah tempahan kek cawan berperisa pandan gula melaka untuk sebuah majlis sambutan hari lahir. Sebanyak 70 biji kek cawan kesemuanya,” ujar Sita penuh teruja kepada K2 baru-baru ini.
Dari luaran nampak seperti kek-kek biasa, tetapi siapa sangka, kek cawan yang rupanya bukan saja cantik dan penuh seni itu sebenarnya dihasilkan menggunakan ramuan tumbuh-tumbuhan sepenuhnya atau dikenali sebagai vegan cakes (kek vegan).
Vegan atau vegetarian merujuk kepada orang yang makan sayur dan buah-buahan sahaja, atas sebab-sebab tertentu seperti rasa kasihan terhadap haiwan, agama atau mereka yang tidak boleh mengambil produk tenusu berasaskan haiwan atas sebab kesihatan.
Barang kali, ramai antara kita cukup biasa dengan terma vegan tersebut, namun memandangkan makanan vegan begitu sinonim dengan rasa yang kurang enak, tekstur yang agak keras serta rupa bentuk kurang cantik, ia lantas menjadikan kumpulan makanan tersebut sebagai sesuatu yang kurang menarik untuk dicuba.

Kata orang, apalah rasanya kek, roti atau pastri tanpa telur dan bahan tenusu yang sering dianggap ‘ramuan wajib’, namun dua sahabat baik yang mengusahakan bakeri Vicked Good itu, Sita dan Sheila Philip, 61, membuktikan makanan pastri juga boleh ‘menjadi’ tanpa penggunaan ramuan-ramuan berasaskan haiwan tersebut.
Dua sahabat itu bagaimanapun mengakui sukar untuk menangkis tanggapan orang ramai terhadap produk vegan yang dianggap ‘hambar’ dan kurang menyelerakan.
“Kami mula membuka bakeri ini pada tahun lalu iaitu pada Mac 2021 di tengah-tengah pandemik dan kami mahu mengubah persepsi orang ramai terhadap pastri atau manisan vegan yang sering dianggap tidak sesedap manisan biasa yang menggunakan ramuan berasaskan haiwan seperti telur ayam sebagai bahan utamanya.
“Kami mencuba pelbagai resipi kek dan roti yang hanya menggunakan sumber tumbuh-tumbuhan, namun pada masa yang sama tetap enak atau mungkin lebih enak daripada kek yang dihasilkan menggunakan telur,” ujar Sita.
Jelas Sheila pula, biarpun berdepan cabaran, dia berbangga apabila mereka berjaya mewujudkan satu jenama dengan seleksi menu manisan vegan biarpun berdepan cabaran besar dalam menghasilkan manisan yang enak.
“Misi kami adalah untuk menghasilkan kek yang enak, bukannya kek vegan yang enak.
“Biasanya, kami akan bertanya kepada pelanggan, adakah kek kami sedap dan apabila mereka menjawab ya, kami akan memaklumkan bahawa ia sebenarnya vegan,” ujarnya yang menambah bahawa semua menu di situ adalah halal memandangkan ia tidak menggunakan sumber haiwan.

Malah, Vicked Good juga cukup berbangga apabila menjadi satu-satunya kafe fizikal di negara ini yang menjual pastri atau manisan berasaskan tumbuh-tumbuhan.
“Jika anda bercakap tentang homebaker atau penjual manisan yang menjual manisan vegan di rumah, anda akan menjumpai ramai penjual yang berbuat demikian.
“Namun, jika anda mencari bakeri atau kedai yang menjual menu 100 peratus vegan, buat masa ini, Vicked Good merupakan satu-satunya bakeri manisan vegan di negara ini yang mana pelanggan juga boleh membeli menu kami secara walk-in,” ujar Sheila.
Sita yang berpengalaman luas dalam bidang perniagaan restoran berkata, idea untuk menubuhkan sebuah bakeri vegan ini merupakan impiannya selepas dua buah restoran yang diusahakannya di Cameron Highlands, Pahang terpaksa ditutup akibat pandemik.
Tidak membiarkan ujian tersebut mematahkan semangatnya, dia berhijrah ke Kuala Lumpur dan berkongsi kepakaran dengan Sheila dalam mewujudkan modul perniagaan baharu yang lebih segar dan menarik.
“Cabaran utama dan terbesar dalam menghasilkan seleksi kek vegan adalah dari segi bahan mentah yang ada di pasaran.
“Bahan mentah vegan yang sedia ada di pasaran boleh dikatakan sama ada terlalu mahal atau pun tidak ‘kena’ dengan resipi yang dihasilkan oleh kami.
“Sebagai contoh, sebelum ini kami ada menggunakan sejenis yogurt vegan yang dibeli dari sebuah pasar raya tetapi apabila kami menggunakannya untuk penghasilan kek kami, ia tidak menjadi, menyebabkan kami beralih kepada menghasilkan yogurt sendiri menggunakan kacang gajus yang seterusnya digunakan bagi kebanyakan resipi kami,” ujar Sita.

Jelasnya, penggantian bahan utama seperti telur pula lebih kompleks kerana ia memerlukan penggunaan lebih daripada satu bahan dan pelbagai teknik bagi mendapatkan rasa yang sempurna.
Hal ini kerana kuning telur lebih pekat, maka tanpanya memerlukan penggunaan bahan pengemulsi. Begitu juga pengganti putih telur kerana putih telur lazimnya membantu menghasilkan tekstur kek yang ringan.
“Bagi penggantian susu pula, ia lebih mudah kerana terdapat pelbagai jenis susu tumbuhan di pasaran seperti susu soya, susu badam dan juga santan,” ujarnya.
Tambahnya, selain yogurt, Vicked Good turut menghasilkan sendiri pandan kaya yang juga merupakan antara produk paling disukai pelanggan.
Buat masa ini, Vicked Good menawarkan 14 jenis kek, 10 jenis roti dan lima biskut vegan.
Bermula 10 Jun ini juga, Vicked Good akan menawarkan pakej menu minum petang vegan yang boleh dinikmati setiap Jumaat dan Sabtu di bakeri itu.














