fbpx

‘Perang roti’ ancam Benua Afrika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pembeli melihat roti yang dijual pada harga tinggi di sebuah pasar raya di Lagos, Nigeria pada 15 Mac lalu. – AFP

ROM, ITALI – Menteri Luar Itali, Luigi Di Maio memberi amaran bahawa ‘perang roti’ tercetus di Benua Afrika susulan sekatan tentera Russia ke atas pelabuhan-pelabuhan Ukraine, lapor laman berita Republic World kelmarin.

Di Maio berkata, situasi di sebilangan negara paling terdedah terutamanya di Afrika yang sebelum ini berdepan krisis makanan, kini  semakin buruk. Perkembangan tersebut katanya, membawa kepada ‘darurat makanan’.

“Perang roti dunia sudah bermula dan kita perlu menghentikannya. 

“Masalah ini menyebabkan rantau Afrika diancam ketidakstabilan politik seperti peningkatan aktiviti keganasan dan rampasan kuasa. 

“Keadaan ini juga boleh membawa kepada krisis bijirin global,” katanya seperti yang dilaporkan akhbar The Business Tribune.

Menurut beliau, Presiden  Vla­dimir Putin perlu mencapai perjanjian segera dengan Kiev bagi mencegah peperangan daripada berterusan serta berlakunya krisis makanan.

Beliau menuduh Putin bertindak menyekat pelabuhan-pelabuhan utama di Ukraine sejak perang bermula pada 24 Februari lalu. Tegasnya, Kremlin perlu membuka semua sekatan bagi membolehkan Kiev mengeksport gandum ke seluruh dunia.

Kira-kira 30 juta tan gandum Ukraine kini terkandas di beberapa pelabuhan di negara itu akibat sekatan Russia.

“Kami menggesa tentera Russia agar membuka sekatan supaya gandum boleh dieksport menerusi pelabuhan-pelabuhan di Ukraine,” ujarnya.

Berdasarkan laporan akhbar The New York Times, Ukraine merangkumi 10 peratus penge­luaran gandum dunia.

Bagaimanapun, disebabkan oleh pencerobohan tentera Russia, le­bih 20 juta orang di Sudan, Eritrea, Etiopia, Djibouti dan Somalia kini terjejas kerana ketiadaan bekalan gandum dari Ukraine.

Perang di Ukraine juga menyekat penghantaran gandum antarabangsa yang mencetuskan masalah kekurangan bekalan dan peningkatan harga di seluruh dunia.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Putin menegaskan bahawa proses penghantaran gandum dari Ukraine boleh dilakukan menerusi Belarus sekiranya sekatan dihentikan.

“Jika sesiapa mahu menyelesaikan masalah eksport bijirin Ukraine, silakan. Cara paling mudah adalah menerusi Belarus. Tiada sesiapa akan menghalang anda.

“Namun, anda perlu menamatkan sekatan yang dikenakan ke atas Belarus,” katanya. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI